OFS mahu jalin kerjasama dengan MQA berkaitan 'micro-credentials'

Astro Awani
Mei 28, 2022 20:00 MYT
Mohammad Shatar berkata, kerjasama antara MQA dengan OFS itu akan melebarkan lagi penawaran program berkaitan micro-credentials di IPT Malaysia dan England.
KUALA LUMPUR: Badan Jaminan Kualiti Pengajian Tinggi England, Office for Students (OFS) menunjukkan minat untuk menjalin kerjasama dengan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) berkaitan penawaran micro-credentials.
Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof Datuk Mohammad Shatar Sabran, berkata micro-credentials sudah mendapat tempat dalam kalangan masyarakat bukan sahaja di Malaysia, malah di England dan serata dunia.
Katanya, di England mereka sedang giat meningkatkan lagi penawaran micro-credentials sehingga difahamkan kerajaannya turut memberi pelbagai insentif kepada mereka yang mengikuti pengajian micro-credentials dengan bantuan kewangan.
"Dengan adanya bantuan itu, sambutan terhadap micro-credentials daripada masyarakat setempat pastinya akan meningkat," katanya dalam satu kenyataan, selepas pertemuan dengan wakil OFS di pejabat badan akreditasi itu di London.
Hadir sama, Pengurus Risiko Kanan OFS, Dr Abi Coveney, Ketua Kualiti Pengurusan Pemegang Taruh OFS, Kate McAlister dan Ketua Unit Hal Ehwal Awam dan Antarabangsa (MQA International), Muhammad Hasfarizal Kamaludin.
Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, kerjasama antara MQA dengan OFS itu akan melebarkan lagi penawaran program berkaitan micro-credentials di IPT Malaysia dan England.
Beliau berkata, dalam usaha berkenaan, MQA bersetuju untuk memberi kebebasan kepada pelajar di Malaysia untuk mengikuti program micro-credentials yang ditawarkan IPT tempatan atau institusi luar negara khususnya di United Kingdom (UK).
Katanya, program micro-credentials yang telah dibincangkan antara MQA dengan OFS ialah program yang sudah diiktiraf yang akhirnya boleh membantu pelajar mendapatkan kelayakan peringkat diploma, ijazah sarjana muda dan lebih tinggi.
"Secara tidak langsung kerjasama dua pihak ini akan meningkatkan lagi imej pengajian tinggi Malaysia seterusnya membantu hasrat Kementerian Pengajian Tinggi untuk menjadikan negara sebagai hab pendidikan global.
"Diharapkan dengan kerjasama ini akan mampu menarik minat lebih ramai pelajar terutamanya dari UK untuk menyambung pengajian atau mengikuti program micro-credentials dengan IPT Malaysia sama ada secara fizikal atau dalam talian," katanya.
#MQA #micro-credentials #England #Mohammad Shatar Sabran
;