OCPD Besut cedera ditetak: Penganggur direman tujuh hari

Astro Awani
Ogos 16, 2019 11:26 MYT
Suspek ditahan di Felda Selasih, di Besut, kira-kira jam 4.15 petang Khamis. - Astro AWANI
Seorang penggangur yang disyaki menetak Ketua Polis Daerah (OCPD) Besut, Supt Mohd Zamri Mohd Rowi, direman selama tujuh hari bermula hari ini.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat.
Ia bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.
Pada Khamis, suspek yang berusia 33 tahun itu ditahan di Felda Selasih, di sini, kira-kira jam 4.15 petang.
Terdahulu, dalam kejadian di hadapan rumah mangsa di Jerteh, ketua polis daerah berusia 55 tahun itu cedera selepas ditetak seorang individu yang dipercayai dikenalinya.
BACA: OCPD Besut putus ibu jari, cedera di kepala akibat ditetak
Ekoran kejadian yang berlaku kira-kira jam 12.50 tengah hari itu, Mohd Zamri mengalami kecederaan putus ibu jari kanan dan luka di belakang kepala.
Mangsa dikatakan ditetak menggunakan parang oleh suspek yang mempunyai masalah mental dan tinggal berhampiran rumahnya.
Mohd Zamri telah dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kota Bharu, Kelantan untuk rawatan lanjut.
Keadaan beliau dilaporkan stabil dan masih menjalani rawatan.
#Besut #cedera #cedera parah #mangsa #Mohd Zamri Mohd Rowi #OCPD Besut #penggangur #polis #putus ibu jari #reman #rumah #siasatan #suspek #Tetak
;