OBYU/ 1MDB: Tempoh 24 jam untuk kerajaan pulangkan aset RM114 juta kepada Najib, UMNO - Shafee
Firdaus Azil
Mei 20, 2021 16:58 MYT
Mei 20, 2021 16:58 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia diberi tempoh 24 jam untuk memulangkan semula keseluruhan dana dan aset berjumlah lebih daripada RM114 juta kepada Datuk Seri Najib Tun Razak dan UMNO.
Ketua Peguam Bela bekas Perdana Menteri itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, sekiranya Jabatan Peguam Negara berterusan menyimpan aset dan dana itu, tindakan itu akan dikira tidak sah di sisi undang-undang.
“Lebih lama anda menyimpan aset dan wang itu, lebih lama tindakan anda dikira tidak sah. Pendakwaraya kata harta itu semua di bawah jagaan Najib ketika ia dirampas pada 2018, maka undang-undang hari ini memerlukan anda memulangkannya,” kata Shafee dalam sidang media di luar pekarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta, di sini pada Khamis.
Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin menolak permohonan pendakwaan untuk melucut hak wang yang disita oleh polis di kondominium mewah Pavilion Residence pada 17 Mei 2018.
Ketika menyampaikan keputusannya, Muhammad Jamil berkata, pendakwa raya gagal membuktikan wang RM114,164,393.44 yang disita itu milik 1MDB.
Selain itu, hakim juga memutuskan pendakwa raya gagal membuktikan wang berkenaan wujud hasil aktiviti pengubahan wang haram.
Bagaimanapun, Muhammad Jamil tidak membuat sebarang keputusan mengenai status quo wang dan aset berkenaan yang kini di bawah jagaan Bank Negara Malaysia.
Untuk rekod, pendakwaan pada 2019 telah memfailkan permohonan pelucuthakan terhadap OBYU Holdings untuk melucut hak barangan merangkumi 11,991 unit barang kemas, 401 utas jam tangan dan 16 aksesori jam tangan, 234 pasang cermin mata serta 306 beg tangan dan wang tunai berjumlah RM114,164,393.44.
Dalam pada itu, Muhammad Shafee berkata, hakim telah menerima kenyataan Najib melalui affidavitnya, bahawa wang itu merupakan lebihan daripada perbelanjaan Barisan Nasional sewaktu pilihan raya umum pada tahun itu.
Tambahnya lagi, hakim tidak menolak keterangan Ahli Parlimen Pekan itu bahawa ia merupakan sesuatu perkara yang bukan luar biasa untuk dirinya sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO ketika itu untuk menjaga wang berkenaan.
Ditanya akan ada cubaan memfailkan rayuan daripada kerajaan, Muhammad Shafee berkata, pihak pendakwaan hanya cuba memohon penangguhan keputusan, tetapi bukan rayuan yang pada beliau sesuatu yang agak pelik.
Dalam pada itu, Najib berkata, keputusan Mahkamah Tinggi sekali gus membuktikan kebenaran berada di pihak beliau.
"Pada saya ini merupakan satu kemenangan, kejayaan besar bukan sahaja dari segi wang tersebut, tidak ada berkaitan dengan sebarang kesalahan dilakukan, tapi apa juga yang telah dilemparkan pada saya selama ini, bahawa saya salah guna wang 1MDB, saya perompak, penyangak dan sebagainya.
“Terbukti ini semua merupakan fitnah, berniat jahat dan tidak ada asas sama sekali untuk membuat kata-kata kesat seperti itu yang telah sedikit sebanyak sentuh dan rosakkan imej dan reputasi saya sebagai seorang pemimpin,” kata Najib lagi.
#Najib Razak
#Muhammad Shafee Abdullah
#1MDB
#OBYU Holdings
#Bustari Yusof
#sita
#Bank Negara Malaysia
#pilihan raya
#mahkamah
#menteri
#haram
#pilihan raya umum
#Perdana Menteri