Obor-obor Portuguese Man o'War masih beracun walaupun sudah mati

Wan Zuratikah Iffah Wan Zulkifli
Januari 9, 2022 07:57 MYT
Kemunculan haiwan berbisa itu ke pesisir pantai mungkin disebabkan faktor musim monsun timur laut. - Astro AWANI
MARANG: Tampak comel namun sengatannya boleh membawa maut jika tidak dirawat segera.
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata, obor-obor jenis Portuguese Man o'War atau nama saintifiknya 'physalia physalis' masih beracun walaupun sudah mati.
Menurut Ruzaidi, saiznya yang kecil dan berwarna lutsinar membuatkan haiwan itu sukar dilihat serta boleh mengundang bahaya kepada orang ramai.
Sebanyak empat ekor obor-obor spesis tersebut ditemui terdampar di Pantai Kelulut dan pantai Pulau Kerengga di Marang.
BACA: Obor-obor beracun muncul kembali di pantai Terengganu
Beliau tidak menolak kemungkinan kemunculan haiwan berbisa itu ke pesisir pantai disebabkan faktor musim monsun timur laut.
"Akibat daripada ombak ini jadi telah pun menghanyutkan spesis obor-obor ini ke pantai.
"Jadi nasihat sayalah kepada pengunjung-pengunjung pantai agar berhati-hatilah dengan spesis obor-obor ini. Obor-obor yang berwarna kebiru-biruan itu janganlah pegang kerana ia sangat bahayalah," katanya.
Beliau turut menasihati penduduk dan pengunjung supaya berhati-hati ketika berada di pantai negeri Terengganu buat masa ini.
Ruzaidi berkata kali terakhir spesis hidupan itu ditemui di perairan Terengganu adalah pada Februari tahun 2020.
Jelasnya kajian sebelum ini merekodkan penemuan lebih 1,000 obor-obor spesis berkenaan terapung di perairan Lautan Hindi dan ia bergerak mengikut arus atau angin.
#obor-obor #Portuguese Man o'War #Pantai #monsun timur laut
;