Objek hitam ditemukan di Batu Niah dipercayai serpihan roket Long March 5B China
Fadilah Sulaiman
Ogos 1, 2022 13:05 MYT
Ogos 1, 2022 13:05 MYT
NIAH: Dua keluarga diarah mengosongkan rumah mereka oleh pihak bomba kerana bimbang akan kesan radioaktif berikutan penemuan objek asing berdekatan kediaman masing-masing.
Tindakan itu diambil bagi mempermudah siasatan kerana bimbang, objek yang jatuh itu dipercayai serpihan roket Long March 5B China.
Kewujudan objek berwarna hitam yang tidak dikenal pasti itu telah dilaporkan penduduk tempatan, yang menemuinya di Lot 65, Pekan Sepupok Lama, Niah pada Ahad.
Sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan sekitar 6.00 petang semalam, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah telah mengatur gerak lima anggotanya ke lokasi objek tersebut.
“Pasukan Operasi (PO) menjumpai objek berwana hitam yang tertanam lebih kurang satu kaki dari permukaan tanah. Mereka mengambil beberapa gambar objek tersebut untuk tindakan dan rujukan selanjutnya.
“Penghuni dua rumah berhampiran diminta mengosongkan kediaman mereka buat sementara waktu,” kata jurucakap balai bomba dan penyelamat Batu Niah.
Operasi penyelamatan ditangguhkan sekitar jam 8.20 malam Ahad sementara menunggu arahan selanjutnya.
Terdahulu tular di media sosial beberapa rakaman dari sisi berbeza memaparkan objek bercahaya di langit seakan meteor di ruang udara Sarawak khasnya di bahagian Kuching.
Ia dipercayai adalah serpihan daripada roket milik China itu setelah dilaporkan memasuki semula atmosfera bumi di atas lautan Hindi sekitar pukul 12.45 pagi Ahad (31 Julai), menurut agensi angkasa Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Negara (NASA) Amerika Syarikat.