Objek dipercayai serpihan roket China tiba di Kuala Lumpur

Astro Awani
Ogos 3, 2022 16:22 MYT
MOSTI berkata, objek berkenaan yang dibawa oleh pasukan siasatan tiba jam 7.45 malam. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Dua objek yang dipercayai sisa serpihan roket Long March 5B milik China tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam Rabu.
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam satu kenyataan memaklumkan, objek berkenaan yang dibawa oleh pasukan siasatan tiba jam 7.45 malam.
"Ia akan terus dibawa ke makmal analisis kimia, Jabatan Kimia Malaysia untuk disiasat.
"Siasatan lanjut dibuat oleh Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dan Jabatan Kimia," katanya.
Dua objek itu dijumpai di Kampung Nyalau, Bintulu dan Kampung Sepupok Lama, Niah, Miri di Sarawak pada Ahad.
Ia selepas berlaku kemasukan semula serpihan roket Long March 5B milik China sekitar 12.55 pagi dengan melintasi ruang udara Malaysia di beberapa kawasan termasuk sekitar Sarawak.
Video kejadian itu sempat dirakam penduduk di negeri itu sebelum tular di media sosial.
#serpihan roket China #Sarawak #MOSTI #tiba di klia