Nyawa polis lebih berharga daripada penjenayah - Syed Ali
Astro Awani
Februari 15, 2021 10:30 MYT
Februari 15, 2021 10:30 MYT
KUALA LUMPUR: Nyawa anggota pasukan keselamatan khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) lebih berharga daripada penjenayah, kata Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee.
Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras, itu menegaskan, sudah ramai anggota polis yang terkorban dalam usaha mempertahankan keamanan negara dan ketenteraman awam yang diakibatkan oleh penjenayah.
"Pelanggaran peraturan serta undang-undang negara oleh seseorang atau secara berkumpulan dianggap kesalahan atau perbuatan jenayah yang perlu dibanteras habis-habisan.
"Tindakan polis dalam apa juga cara untuk memerangi aktiviti jenayah perlu disokong masyarakat selagi tidak bertentangan dengan prosedur operasi standard (SOP).
"Justeru, saya bersetuju dengan ketegasan Polis Johor yang mempertahankan tindakan pegawai dan anggotanya yang menembak mati empat lelaki dipercayai penjenayah di Batu Pahat, pada Jumaat lalu," katanya dalam catatan terbaharu di laman Facebooknya.
Terdahulu, Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tindakan anggotanya menembak mati empat lelaki adalah mengikut SOP dalam usaha mempertahankan diri.
Ayob Khan turut yakin anggotanya mengikut SOP selepas suspek melepaskan tembakan dan mencederakan seorang pegawai dengan senjata kerambit dalam kejadian jam 3.15 pagi Jumaat itu.
Dalam pada itu kata Syed Ali, Ayob Khan yang berkata bahawa anggotanya bertindak demikian untuk mempertahankan diri, tidak perlu dipertikaikan.
"Saya hairan kenapa ada pihak tertentu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempertikaikan tindakan Polis Johor itu dan apakah sebaliknya mereka mahu melihat polis yang dibunuh?
"Saya pelik kenapa NGO berkenaan dikatakan telah menggesa Ayob Khan merujuk semula Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN) mengenai SOP melepaskan tembakan ketika menahan suspek," soalnya.
Dalam hal itu, beliau menggesa kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menyiasat dan seterusnya mengharamkan mana-mana NGO yang dilihat mempunyai kecenderungan bersimpati dan membela kegiatan kumpulan penjenayah bagi mengelak kekeliruan masyarakat.
"Pada saya, polis mempunyai tatacara dan kaedah mereka sendiri dalam menjalankan tugas terutama menangani isu penjenayah dan masyarakat pula tidak sewajarnya mempertikaikan tanpa asas yang munasabah," tegasnya.