Nyahjenayah bunuh diri: KKM akan teruskan bincang dengan KDN, PDRM - Khairy

Ridauddin Daud
September 28, 2022 15:00 MYT
Menurutnya, penyingkiran hukuman jenayah atas percubaan bunuh diri merupakan sesuatu yang sentiasa beliau ingin lakukan sejak dilantik menjadi Menteri Kesihatan. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam masa terdekat berhubung nyahjenayah cubaan bunuh diri.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya telah menerima hasil kajian daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) dan akan dibawa dalam pertemuan bersama KDN dan PDRM kelak.
“Dalam sesi ini, kita akan bincangkan hasil kajian diperolehi AGC dan kita akan semak semula memorandum jemaah menteri yang disediakan untuk dibawa ke mesyuarat jemaah menteri, sekarang ini kita perlu dapat pandangan daripada polis dan KDN.
BACA: Dekriminalisasi bunuh diri: Kertas cadangan di peringkat akhir, akan dibentang ke Kabinet
“Pada waktu saya bawa MJM ini, nampak KDN macam tidak berapa setuju jadi kita tengoklah samada mereka boleh dipengaruhi untuk menyokong usaha kita dekriminalisasi cubaan bunuh diri ini.
“Hujah mereka yang saya dengar masa mesyuarat itu pun, hujahnya tak begitu kukuh sangat bagi pihak saya sebagai Menteri Kesihatan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Agihan Dana Program Kesihatan Mental Kepada Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) di kementeriannya, di sini, pada Rabu.
BACA: KDN, Jabatan Peguam setuju mansuh kesalahan cubaan bunuh diri
Khairy turut memberitahu ada kemungkinan pindaan tersebut dibawa dalam sidang Parlimen akan datang namun ia bergantung kepada keputusan Jemaah Menteri.
Baru-baru ini, Khairy memaklumkan kertas cadangan untuk nyahjenayah bunuh diri kini dalam peringkat akhir di AGC sebelum ia dibentangkan dalam Mesyuarat Kabinet.
Cubaan Bunuh Diri | 38 panggilan kecemasan sejak awal tahun
Menurutnya, penyingkiran hukuman jenayah atas percubaan bunuh diri merupakan sesuatu yang sentiasa beliau ingin lakukan sejak dilantik menjadi Menteri Kesihatan.
Jelasnya, perbuatan atau cubaan membunuh diri tidak wajar untuk diletakkan di bawah kategori jenayah, sebaliknya ia wajar ditangani dengan kaedah intervensi klinikal.
#Khairy Jamaluddin #kesihatan mental #Kementerian Kesihatan Malaysia #Kementerian Dalam Negeri
;