Nyah cemar: KKM akan keluarkan garis panduan
Bernama
Mac 31, 2020 21:00 MYT
Mac 31, 2020 21:00 MYT
Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengeluarkan garis panduan dan nasihat mengenai pelaksanaan proses nyah cemar yang betul dalam masa terdekat, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata, KKM akan berkomunikasi dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan pejabat majlis daerah mengenai proses tersebut.
"KKM akan melihat bagaimana proses nyah cemar boleh dilaksanakan ikut prosedur operasi standard (SOP) KKM.
"Antara perkara yang akan diambil kira dalam garis panduan KKM ialah bahan kimia yang diluluskan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)," katanya dalam sidang media harian perkembangan wabak COVID-19, pada Selasa.
Dr Noor Hisham berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan beberapa pihak yang mempertikai pelaksanaan proses nyah cemar oleh pihak berkuasa tempatan bermula semalam.
Tambah beliau, proses nyah cemar di tempat awam seperti pasar yang bermula semalam dilaksanakan lebih awal daripada garis panduan yang akan dikeluarkan KKM.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai pengurusan bazar Ramadan tahun ini, katanya, ia boleh diteruskan dengan mengikut SOP ditetapkan bagi mencegah penularan COVID-19.
Antara SOP tersebut adalah menjaga kebersihan gerai jualan, mengawal kesesakan orang ramai dan menjaga penjarakan sosial serta memastikan tangan sentiasa bersih.
"Kami (KKM) akan memaklumkan kepada mereka apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan, sama seperti pelaksanaan pasar tani," katanya.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media tengah hari tadi berkata, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan membuka pusat jualan barangan segar terkawal di 77 lokasi di seluruh negara sebagai mengurangkan kesesakan di pasar basah sedia ada.
Sebelum ini, pasar tani tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. - BERNAMA
#Dr Noor Hisham Abdullah
#Kementerian Kesihatan
#keselamatan
#kesihatan
#KKM
#koronavirus
#Noor Hisham Abdullah
#nyah cemar
#operasi
#SOP