NWICE 2024: Platform penting pengurusan sumber air mampan negara

Astro Awani
November 26, 2024 11:34 MYT
Menerusi tema "Transformasi Air Menuju Kemampanan Sejagat", persidangan tersebut dirasmikan oleh Fadillah. - Foto PETRA
KUALA LUMPUR: Penganjuran Persidangan dan Pameran Inovasi Air Kebangsaan Ke-2 (NWICE 2024) menjadi platform kepada perkongsian kepakaran, pengalaman dan teknologi terkini dalam membangunkan infrastruktur air dan pembetungan negara ke peringkat antarabangsa.
Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Pembentungan, Ir. Ts. Wan Abd Rahim Wan Abdullah berkata NWICE 2024 turut menjadi platform untuk mempamer dan mempromosikan produk dan perkhidmatan melibatkan sektor air dan pembetungan.
"Persidangan ini akan membawa beberapa manfaat penting khususya kepada sektor air dan pembetungan negara iaitu sebagai platform strategik untuk membolehkan penggiat industri dan pemegang taruh berkongsi ilmu, kepakaran dan pengalaman menerusi sesi pembentangan yang akan diadakan sepanjang persidangan dengan matlamat untuk meninggikan tahap industri air dan pembetungan dinegara ini ke piawaian antarabangsa.
"Selain itu, ia turut menjadi platform perkongsian kepakaran dan teknologi terkini dalam pengurusan air dan pembetungan antara pakar tempatan dan antarabangsa termasuk sebagai ruang perbincangan mengenai solusi inovatif bagi menangani cabaran perubahan iklim terhadap sumber air negara.
"Malah, ia turut menjadi platform untuk meningkatkan jaringan kerjasama antara agensi kerajaan, pihak industri dan institusi penyelidikan dalam memajukan teknologi air tempatan dan mengelakkan mismatch antara keperluan sebenar setiap pihak berkepentingan," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI hari ini.
Beliau menambah, NWICE 2024 turut menjadi platform dalam memangkin kepada pembangunan teknologi hijau dalam sektor air, selaras dengan agenda kelestarian negara.
Malah, ia turut membuka peluang kepada institusi TVET, universiti dan syarikat industri untuk berkongsi hasil dapatan penyelidikan terapan, kajian kolaboratif, mempamerkan produk dan inovasi serta teknologi terbaharu kepada semua pengunjung bagi mengembangkan lagi jaringan mereka dalam industri ini serta mewujudkan kerjasama strategik.
NWICE 2024 yang berlangsung selama tiga hari bermula 26 sehingga 28 November 2024 ini dianjurkan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menerusi Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) bersama, Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM), Jabatan Bekalan Air (JBA) dan Persatuan Teknologi Trenchless Malaysia (MATT).
Menerusi tema "Transformasi Air Menuju Kemampanan Sejagat", persidangan tersebut dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri PETRA, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Dengan penyertaan lebih 800 delegasi, 69 pembentangan kertas kerja dan 42 pempamer dari pelbagai sektor dari dalam dan luar negara, NWICE 2024 memberi fokus kepada pembangunan dan transformasi prasarana industri air dan pembetungan negara merangkumi tiga subtema utama iaitu Lonjakan dan Evolusi Prasarana Pembetungan Negara, Menerajui Keterjaminan Air - Mendepani Perubahan Iklim dan Teknologi Tanpa Korekan, Inovasi Hijau.
#transformasi air #Fadillah Yusof #NWICE 2024 #teknologi air
;