Nuzul #QuranHour semarakkan karnival

Sinar Harian
Jun 2, 2018 10:20 MYT
Program Nuzul #QuranHour Anugerah Ramadan Tadabbur Surah Al-Baqarah. Foto Sinar Harian
Karnival Karangkraf x SifuFBads #BetulBetulRaya 2018 disemarakkan lagi dengan program Nuzul #QuranHour Anugerah Ramadan Tadabbur Surah Al-Baqarah bermula ayat 177 hingga 188 selama hampir satu jam di pekarangan Kompleks Media Karangkraf, semalam.
Ketua Pegawai Penyelidik dan Modul, Fazrul Ismail berkata, ayat 183 hingga 186 menjelaskan bagaimana Allah memastikan semangat al-Birr dilatih kepada manusia (orang-orang yang beriman) agar mereka mampu membina jiwa beragama yang asli daripada Allah, bukan yang telah diselewengkan sebagaimana yang dilakukan bani Israel pada zaman dahulu.
“Mereka sembahyang tetapi tidak membantu orang. Mereka menolong orang tetapi tidak mahu sembahyang. Mereka mungkin sembahyang tetapi membuat kecelaruan dalam pengurusan kehidupan dan rasuah.
“Apabila seseorang itu memahami kebajikan yang sebenar-benarnya dalam Islam, memahami konsep mabrur, terutama mereka yang telah menunaikan haji dan umrah, maka individu ini akan membawa akhlak mulia,” katanya.
Menurutnya, pada zaman Arab Jahiliah dahulu, kuda-kuda yang akan dibawa berperang perlu berpuasa.
“Kuda-kuda itu dilatih dengan tidak makan dan tidak minum, diberi latihan yang amat intensif supaya ketika berperang, kuda berkenaan mempunyai stamina yang tinggi dalam menghadapi peperangan,” katanya.
Katanya, puasa pada bulan ini adalah satu latihan untuk kita menghargai anugerah daripada Allah.
"Jika ada ruang untuk memfitnah dan mengumpat di media sosial, tetapi kita sedar Allah memerhati dan sedar bahawa kita berpuasa," katanya.
#Islam #Karangkraf #Karnival Karangkraf #media sosial #Nuzul Quran #perang #puasa #QuranHour #Ramadan #Rasuah #sembahyang #Tadabbur Surah
;