Nuzul al-Quran: Elak bertunjangkan Barat, Sarawak corak acuan pembangunan inklusif
Nuzuluddin Abdul Razak
April 7, 2023 07:06 MYT
April 7, 2023 07:06 MYT
LAWAS: Kesedaran masyarakat global terhadap bahaya dan kegagalan gaya hidup Barat mengakibatkan negara-negara Barat tidak lagi boleh dianggap satu-satunya model negara maju dan membangun.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Openg menegaskan, apa yang jelas kelihatan saat ini ialah, tamadun dan kebudayaan Barat sedang melalui proses penurunan.
Katanya, kemuncak kemajuan sains dan teknologi Barat telah mengakibatkan berlaku krisis yang bersifat global, terutamanya yang berkaitan dengan moral dan alam sekitar, mengakibatkan tumpuan beralih ke bahagian lain di dunia.
“Perkembangan baharu memperlihatkan peralihan tamadun dari Barat ke bahagian-bahagian lain di Asia, meletakkan dunia di tempat yang baru di dalam sejarah dan memberi ruang kepada negara-negara membangun memilih kaedah pembangunan yang sesuai dengan selera masing-masing.
“Begitulah juga halnya dengan negara kita Malaysia, dan Sarawak khususnya, kita merancang pembangunan mengikut acuan sendiri, dalam masa yang sama menekankan pembangunan secara lestari, selari dengan nilai-nilai Islam sebagai asasnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Sambutan Nuzul al-Quran Peringkat Sarawak tahun 2023 di Masjid Besar Darul Ma’mur Lawas, Limbang, di sini semalam.
Turut hadir, Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud.
Mengangkat ketamadunan diraikan dalam konsep Nuzul al-Quran, Abang Johari, menambah sejarah membuktikan, umat terdahulu yang maju hampir dalam segala bidang adalah kerana berpegang kepada ajaran al-Quran yang dinamik.
Dalam hal itu, kepimpinannya turut diterjemahkan melalui pelaksanaan pembangunan yang holistik melalui Pelan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
“Tahun ini merupakan tahun untuk kita menjalankan kajian separuh penggal bagi Rancangan Malaysia Ke-12 untuk menilai prestasi memastikan perancangan ini berada di landasan yang betul.
“Dalam kajian semula ini, adalah penting bagi Sarawak mengutamakan projek berimpak tinggi yang bersifat urgent atau segera dalam PCDS 2030, yang akan mempercepatkan pertumbuhan Sarawak iaitu Kemakmuran Ekonomi, Keterlibatan Sosial dan Kelestarian Alam Sekitar,” ujarnya.