NUTP tubuh pasukan petugas kaji kaedah pengajaran jarakan sosial
Bernama
Mei 15, 2020 16:43 MYT
Mei 15, 2020 16:43 MYT
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) menubuhkan pasukan petugas untuk mengkaji kaedah pengajaran di sekolah ketika menghadapi situasi seperti wabak COVID-19.
Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock berkata pedagogi jarakan sosial itu akan dikeluarkan pada 22 Mei ini dengan panel terdiri daripada ahli-ahli kesatuan berkenaan dan pakar-pakar dari beberapa universiti.
"Para guru sebelum ini hanya menjalani kursus berkaitan kaedah ketika berhadapan murid OKU misalnya, namun cara pengajaran dan pembelajaran (PdP) ketika menghadapi situasi wabak penyakit amat berbeza.
"Tiada seorang cikgu dalam dunia ini diajar untuk mengajar dalam suasana jarakan sosial. Kita tidak ada pedagogi jarakan sosial. Tak ada pedagogi ajar secara saintifik, tiada data, kajian yang dilakukan mana-mana pihak," katanya.
Katanya pedagogi itu penting untuk dijadikan panduan para guru ketika menyampaikan ilmu kepada pelajar walaupun dalam situasi terhad.
Katanya pasukan petugas yang ditubuhkan April lepas juga melakukan kajian secara saintifik mengenai saiz dan jumlah pelajar yang sesuai untuk berada di dalam sesebuah kelas.
Mengulas pembelajaran dalam talian seperti yang disarankan Kementerian Pendidikan ketika ini, Tan berkata, kesatuan itu menyambut baik saranan itu namun memohon kerajaan melihat beberapa perkara bagi penambahbaikan.
Ini termasuk data internet percuma yang boleh diberikan kepada guru dan pelajar dalam memastikan kedua-dua pihak sentiasa berhubung.
Tan dalam pada itu menggesa semua pihak agar menghargai tugas dan peranan guru yang semakin mencabar khususnya ketika pandemik COVID-19 melanda negara, apabila PdP terpaksa dilakukan seratus peratus melalui platform dalam talian.
"Jadi guru sekarang ini bukan lagi jadi guru semata mata, mengajar di hadapan murid-murid. Dia kini perlu jadi penghibur, pakar IT, pakar dalam aplikasi dalam talian yang digunakan... beban itu agak bertambah," katanya.
Bagaimanapun beliau percaya kredibiliti para guru yang mampu memenuhi kehendak semasa dengan menerapkan elemen inovatif dan kreatif ke dalam kaedah pengajaran mereka.
Hari Guru disambut setiap 16 Mei setiap tahun dengan tema tahun ini "Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu".
- BERNAMA
#guru
#Kementerian Pendidikan
#kerajaan
#koronavirus
#OKU
#pedagogi jarakan sosial
#pelajar
#pendidikan
#sekolah
#Task force