Nusantara: Sarawak jalin kerjasama dengan Indonesia untuk bina empangan hidroelektrik
Shafik Ahmad
Februari 11, 2023 07:00 MYT
Februari 11, 2023 07:00 MYT
KUCHING: Selari dengan pembangunan ibu kota baharu Indonesia di Kalimantan, Sarawak akan menjalinkan kerjasama dengan negara republik itu untuk membangunkan empangan hidroelektrik di Nusantara.
Mendedahkan perkara itu Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata ia masih di peringkat kajian sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Untuk Indonesia, kita ada satu cadangan yang sedang dikaji antara Indonesia dan Sarawak untuk kita membangunkan empangan hidroelektrik di Nusantara..
“Ini bermakna Sarawak melebarkan sayap (kerjasama) ke negara-negara ini kerana apa, keyakinan kepada kita dan juga dasar kita.
“Kita bukan sahaja membangunkan Sarawak, tetapi berkongsi pembangunan kepada negara-negara jiran,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis apresiasi Gabungan Parti Sarawak sempena Pilihan Raya Umum KE-15 di Dewan Majma Tuanku Abdul Halim di Kuching pada Sabtu malam.
Selain Indonesia, katanya Sarawak turut memperkukuhkan kerjasama dengan negara jiran lain termasuk Brunei Darussalam khususnya dalam usaha menambah baik jaringan jalan raya.
Untuk kerjasama dengan Singapura pula, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyokong usaha Sarawak untuk menjual tenaga elektrik kepada republik itu.
“Perdana Menteri menyokong kita untuk menjual tenaga elektrik ke Singapura dengan siling 1,000 megawatt walaupun pada awalnya mereka sedikit skeptikal, namun sekarang kita boleh menjual elektrik kepada Singapura sehingga 1,000 megawatt.
“Tetapi dengan syarat, jika ada pelaburan masuk ke Singapura yang memerlukan tenaga termasuk pusat data, ekonomi baharu maka Singapura akan menghantarnya ke Sarawak, bermakna ada hubungan antara Sarawak dan Singapura selain dari sudut perdagangan karbon,” jelasnya.