Nurul Zahid, suami akan dituduh di mahkamah

Khairunnisa Kasnoon
Mei 2, 2020 23:11 MYT
Saiful Nizam dan NurulHidayah, edua-duanya telah diambil keterangan pada 24 April lalu. - Instagram @nurul.zahid
Langgar Perintah Kawalan Pergerakan, (PKP), Datuk Nurul Hidayah Ahmad Zahid dan suaminya, Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff akan dituduh di mahkamah dalam tempoh terdekat.
Dalam satu kenyataan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, memaklumkan, pihaknya sudah mendapat arahan dari pihak Jabatan Peguam Negara untuk menuduh kedua-duanya.
"Satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) JSJ Bukit Aman dan kedua-duanya telah diambil keterangan pada 24 April lalu.
"Siasatan mendapati Datuk Nurul Hidayah telah memuat naik gambar di Instagram dengan beberapa kapsyen tentang pertemuannya dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri serta Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Ahmad Masrizal Muhammad," katanya.
Susulan itu, kertas siasatan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara dan sudah mendapat arahan untuk menuduh kedua-duanya mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No.3) 2020 dalam masa terdekat.
Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya tidak cuba menimbulkan kegusaran dan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat seolah-olah Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak mengambil tindakan ke atas dakwaan pelanggaran itu.
"PDRM ingin menegaskan sekali lagi bahawa tiada sesiapapun yang akan terlepas daripada sebarang tindakan sekiranya didapati dengan sengaja melanggar apa juga undang-undang negara," tegas Huzir.
Nurul Hidayah, 41, yang juga anak kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu memuat naik beberapa gambar di Instagram ketika dia dan suaminya bertemu Dr Zulkifli serta Ahmad Masrizal di pejabat masing-masing.
#Bukit Aman #COVID-19 #ingkar PKP #jsj #mahkamah #Nurul Zahid #perintah kawalan pergerakan #PKP
;