Nurul Izzah: Musa Aman harus minta maaf

T K Letchumy Tamboo
Jun 3, 2013 07:30 MYT
Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar mahu Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman memohon maaf dan memberikan penjelasan sepenuhnya kepada beliau berhubung halangan kemasukannya ke negeri itu Khamis minggu lalu.
Nurul juga mahukan penjelasan mengapa halangan yang dikenakan itu kemudiannya ditarik balik.
Katanya, dia benar-benar terkejut bahawa perkara-perkara berkaitan keselamatan dipandang ringan oleh pihak berkuasa negeri itu.
"Bagaimana mereka boleh membuat tuduhan terhadap saya dan beberapa hari kemudian mengubah fikiran mereka?
“Saya ingin Ketua Menteri Sabah atau pejabatnya meminta maaf kepada saya kerana arahan untuk melarang saya daripada memasuki Sabah datang dari pejabat Ketua Menteri.
“Saya tidak melihat perkara seperti ini akan berakhir sekiranya kuasa disalahgunakan dan aspek keselamatan dipolitikkan,” beliau memberitahu Astro AWANI.
Nurul Izzah turut menggesa pejabat Ketua Menteri Sabah menerangkan isi kandungan sepucuk surat yang didakwa dikeluarkan kepada Jabatan Imigresen Sabah.
Surat itu antara lain menyenaraikan nama beberapa individu lain yang dilarang memasuki Sabah selain beliau.
Antaranya termasuk:
- Datuk Seri Anwar Ibrahim
- Lim Kit Siang
- Mohd. Rafifi (sic) Ramli
- Datuk Ambiga Sreenevasan
- Mohd. Sabu
- Syed Ibrahim Syed Noor
- Wong Chin Huat
- Mary Chin Abdullah (sic)
- Ong Boon Kiang
- Hishamuddin Rais
Khamis lalu, Nurul dihalang memasuki Sabah sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Dia berkata kunjungannya ke negeri itu adalah bagi meraikan sambutan Pesta Kaamatan.
Sehari kemudian Jabatan Imigresen Sabah mengeluarkan kenyataan berkata Nurul telah dihalang masuk ke Sabah kerana dikatakan memberikan ancaman kepada keamanan dan stabiliti negeri itu.
Semalam, Ketua Polis Sabah Datuk Hamza Taib memaklumkan kepada Astro AWANI bahawa halangan ke atas Nurul Izzah untuk memasuki Sabah telah ditarik balik.
Musa dalam reaksinya pada Sabtu berkata bertentangan dengan apa yang disebar menerusi media sosial, larangan memasuki Sabah yang dikenakan terhadap Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar tidak bermotifkan politik.
#Datuk Seri Musa Aman #Nurul Izzah #Sabah
;