Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dan 10 pengundi berdaftar di kawasan pilihan raya itu tidak boleh mencabar inkuiri tempatan berhubung persempadanan semula yang dicadangkan bagi kawasan-kawasan parlimen di Kuala Lumpur.

Ini berikutan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini mengetepikan kebenaran bagi permohonan semakan semula kehakiman yang didapatkan oleh Nurul Izzah dan 10 yang lain itu daripada Mahkamah Tinggi pada 3 Jan.

Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Datuk Umi Kalthum Abdul Majid membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan oleh Peguam Negara (AG) dan berpendapat ada merit dalam rayuan itu.

Hakim Umi Kalthum yang membuat keputusan rayuan bersama Hakim-hakim Tan Sri Idrus Harun dan Datuk Hasnah Mohammed Hashim kemudian mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi yang memberi kebenaran berkenaan kepada Nurul Izzah dan 10 yang lain.

Dengan keputusan ini, Mahkamah Tinggi tidak boleh mendengar merit tentang permohonan semakan kehakiman yang dijadualkan pada 15 Feb.

BACA: Mahkamah benar Nurul Izzah cabar cadangan persempadanan semula Wilayah Persekutuan

BACA:
Persempadanan semula seolah-olah beri BN 'cek kosong' menang PRU - Nurul Izzah

Terdahulu, Hakim Umi Kalthum menolak bantahan awal dikemukakan Nurul Izzah terhadap rayuan AG. Panel itu kemudian mendengar hujah tentang merit rayuan itu.

Peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar mewakili Nurul Izzah Anwar dan 10 pengundi berdaftar sementara Peguam Kanan Persekutuan Datuk Amarjeet Singh bertindak bagi pihak AG.

Nurul Izzah dan 10 pengundi itu telah memfail permohonan semakan kehakiman itu pada 11 Nov tahun tahun lepas.

Pada 3 Jan, mereka mendapat kebenaran daripada Mahkamah Tinggi bagi memulakan semakan kehakiman.

Tidak puas hati dengan keputusan itu, AG memfail rayuan di Mahkamah Rayuan.

-- BERNAMA