Nurul Izzah buat kejutan Tahun Baharu Cina di rumah orang tua
Sinar Harian
Januari 21, 2023 07:30 MYT
Januari 21, 2023 07:30 MYT
SHAH ALAM: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar menziarahi sebuah pusat jagaan orang tua pada Sabtu bagi memberi kejutan buat penghuninya bersempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mengakui sedih apabila mendapat tahu masih ramai individu yang tidak dapat meraikan sambutan tahun baharu dengan keluarga tercinta.
Ujarnya, acara makan besar merupakan acara kemuncak kepada Tahun Baharu Cina yang dianggap sebagai tradisi paling penting yang wajib diadakan setiap tahun bersama ahli keluarga.
“Tapi hati saya jadi sedih bila dapat tahu masih ramai yang tidak dapat beraya dengan keluarga tercinta mereka dan hanya meraikannya di rumah orang tua sendirian.
“Jadi kali ini, saya memutuskan untuk buat kejutan dengan memberikan jamuan makan besar Tahun Baharu Cina yang paling meriah buat mereka.
“Saya pergi beli makanan di pasar raya, (ada) makanan laut, sayur-sayuran, tauhu dan bahan-bahan lain.
“Selepas itu, (saya) pergi MR D.I.Y. pula untuk beli barang-barang dekorasi,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Nurul Izzah memberitahu, beliau berpuas hati apabila dapat mengubah pusat jagaan tersebut menjadi lebih ‘merah’ dan meriah dengan hiasan yang dibelinya.
Dalam pada itu, kongsinya, ternyata ramai penghuni di pusat jagaan berkenaan yang terkejut dengan kehadirannya di situ.
“Oh, ada satu benda kelakar saya nak cerita, semasa makan malam, ada sekumpulan nenek tua bersembang-sembang.
“Lepas itu saya terdengar mereka cakap, "Ini anak Perdana Menteri kan? Kenapa dia ada di sini?" Rupa-rupanya ramai yang terkejut sebab saya datang.
“Walaupun mereka tidak dapat sambut Tahun Baharu Cina dengan anak-anak dan ahli keluarga lain, saya harap mereka boleh terima saya sebagai sebahagian daripada ahli keluarga mereka. Macam anak sendiri,” katanya.
Beliau turut berpesan agar setiap individu tidak melupakan jasa ibu bapa yang telah berkorban segala-galanya demi membesarkan anak-anak.
“Harapan saya agar kita semua dapat pulang ke kampung halaman sempena Tahun Baharu Cina ini untuk menjenguk mereka, pegang erat tangan mereka, tatap senyuman dan wajah tua mereka, dan hargai setiap detik yang diluangkan bersama.
“Selamat Tahun Baharu Cina saya ucapkan buat masyarakat Cina yang meraikan,” ujarnya. -Sinar Harian