Nurnasiha cabar diri saingi kaum lelaki dalam ujian lasak
Bernama
Februari 20, 2024 06:15 MYT
Februari 20, 2024 06:15 MYT
IPOH: Keputusan menyertai Ujian Mara Lasak KP Hero Perak 2024 dibuat bukan secara paksa, malah atas kerelaan diri bagi mencabar dirinya dalam ujian lasak yang sering dikaitkan dengan lelaki, kata Koperal Nurnasiha Shaharudin.
Nurnasiha yang berusia 35 tahun dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh itu berkata pembabitan wanita dalam aktiviti lasak dimonopoli lelaki bukan perkara asing kerana diakui wanita mempunyai keupayaan sama walaupun ia dilihat kasar serta berisiko.
Anak kelahiran Temerloh, Pahang itu berkata beliau mengambil masa selama lebih sebulan menjalani latihan bersama 14 rakan anggota polis dari IPD sama bagi memastikan ketahanan mental dan fizikalnya berada pada tahap terbaik.
"Bohonglah kalau saya kata ia sesuatu yang mudah dilakukan namun berkat daripada sokongan serta semangat dari rakan sepasukan menyebabkan saya bertekad untuk menyertai ujian ini.
"Kami telah memulakan latihan sejak 12 Jan lalu dan pelbagai bentuk latihan seperti larian, menembak dilakukan untuk memastikan kami dapat memberi cabaran dalam ujian yang dianjurkan," katanya ketika ditemui di Padang Tembak Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta di sini pada Selasa.
Nurnasiha berkata beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri kerana melalui ujian itu ia dilihat sebagai salah satu usaha bagi memastikan setiap anggota polis sentiasa berada pada tahap kecergasan optimum.
Sementara itu, peserta tertua Sarjan Mejar Mohamad Zabidi Awang, 58, berkata faktor usia tidak menghalang dirinya untuk bersaing meskipun rata-rata peserta yang menyertai ujian berkenaan terdiri dalam kalangan staf yang muda.
Beliau berkata tujuan asal menyertai pertandingan itu juga secara dasarnya adalah untuk menyuntik semangat serta menanam minat kepada anggota polis terutama dalam kalangan belia untuk bersama-sama menyertai ujian lasak itu.
"Kalau polis veteran macam saya pun boleh menghabiskan semua disiplin (berlari dan menembak) dalam ujian ini, mengapa tidak anggota (polis) muda lain tak boleh mencuba?" kata bapa kepada empat cahaya mata yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu.
Ditanya petua dalam menjaga kesihatan dan kecergasan diri, Zabidi yang mewakili IPD Ipoh berkata tiada sebarang rahsia diamalkan melainkan menitikberatkan aspek penjagaan makanan selain sentiasa berfikiran positif.
Terdahulu, pertandingan yang julung kali diadakan hasil cetusan idea Mohd Yusri itu telah dirasmikan beliau sendiri dan IPD Taiping dinobatkan selaku juara keseluruhan manakala Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di kedudukan kedua serta IPD Pengkalan Hulu di tempat ketiga.
Untuk rekod, seramai 240 anggota polis dari IPK Perak serta 14 IPD telah menyertai ujian yang melibatkan acara larian sejauh 6.6 kilometer (km) serta menembak, pada Selasa.
-- BERNAMA