Nuraina Humaira mungkin dirogol sebelum dibunuh - Polis

Sinar Harian
Ogos 18, 2024 19:08 MYT
Mohd Khaizam ketika sidang akhbar di IPD Sungai Siput pada Ahad. Gambar kecil: Nuraina Humaira
SUNGAI SIPUT: Polis tidak menolak kemungkinan kanak-kanak perempuan yang ditemui mati di kawasan berpaya di perkampungan Orang Asli Kampung Bersah, Pos Kuala Mu di sini, Sabtu lalu dirogol sebelum dibunuh.

Ringkasan AI
  • Polis mengesyaki kanak-kanak perempuan yang ditemui mati di kawasan berpaya di Kampung Bersah, Pos Kuala Mu telah dirogol dan dibunuh berdasarkan kesan koyakan pada kemaluan dan kecederaan pada leher.
  • Kes yang pada mulanya disiasat sebagai mati mengejut kini diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.
  • Polis sedang merakam percakapan penduduk kampung dan akan memanggil beberapa individu termasuk ibu bapa mangsa untuk membantu siasatan, serta meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintenden Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, bedah siasat yang dijalankan ke atas Nuraina Humaira Rosli, 10, menemui kesan koyakan pada kemaluan.
Menurutnya, laporan sama dikeluarkan Hospital Sungai Siput pada jam 4.30 petang itu juga menunjukkan terdapat kecederaan akibat tekanan pada bahagian leher mangsa.
"Berdasarkan siasatan awal dijalankan, ada kemungkinan kanak-kanak ini yang mempunyai masalah pendengaran dan lembam telah dirogol dan dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya diletakkan di kawasan mangsa ditemui.
"Dengan perkembangan baharu ini, kes yang pada mulanya disiasat sebagai mati mengejut telah diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput di sini pada Ahad.
Beliau berkata, susulan kes itu, polis telah menahan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun bagi membantu siasatan.
Katanya, remaja berkenaan yang juga saudara terdekat mangsa ditahan di kediamannya di Kampung Bersah, Pos Kuala Mu pada jam 5.30 petang pada Ahad.
"Polis akan mendapatkan perintah reman ke atas suspek esok (Isnin) di Mahkamah Majistret Sungai Siput.
"Setakat ini polis telah merakam percakapan penduduk kampung dan kemungkinan akan memanggil beberapa lagi individu termasuk ibu bapa mangsa bagi membantu siasatan," katanya.
Dalam perkembangan sama, Mohd Khaizam berkata, hasil siasatan dijalankan mendapati, tempat terakhir kanak-kanak berkenaan dilihat adalah di Surau Madrasah Darulsalam yang jaraknya kurang 100 meter dari rumah keluarganya sekitar jam 3 petang pada Jumaat.
"Jadi kehilangan mangsa disyaki berlaku dalam tempoh berkenaan.
"Siasatan masih di peringkat awal jadi kita minta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan ke sini untuk tampil bagi membantu siasatan," katanya.
Dalam kejadian itu, mayat murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Kuala Mu itu ditemukan sekitar jam 4.20 petang hasil operasi mencari yang digerakkan selepas mangsa dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak Jumaat.
Mangsa dijumpai dalam keadaan terbaring di kawasan berpaya di kampung berkenaan. -Sinar Harian
#Kanak-kanak #Nuraina Humaira Rosli #perkampungan Orang Asli Kampung Bersah #dirogol sebelum dibunuh