Nuraina Humaira ditemui mati selepas hilang sejak Jumaat

Sinar Harian
Ogos 18, 2024 13:40 MYT
Nuraina Humaira Rosli, 10, yang dilaporkan hilang sejak Jumaat ditemui mati di kawasan berpaya. -Sinar Harian
SUNGAI SIPUT: Seorang kanak-kanak perempuan yang dilaporkan hilang ditemui mati di kawasan berpaya di perkampungan Orang Asli Kampung Bersah, Pos Kuala Mu di sini pada Sabtu.
Mayat Nuraina Humaira Rosli, 10, murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Kuala Mu itu ditemukan sekitar jam 4.20 petang hasil operasi mencari yang digerakkan selepas mangsa dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak Jumaat.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, mangsa dijumpai dalam keadaan terbaring di kawasan berpaya berhampiran perkampungan itu dengan jarak antara 50 hingga 100 meter dari rumah terakhir di perkampungan terbabit.
"Pemeriksaan awal tidak menemukan sebarang kecederaan ke atas tubuh badan mangsa yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah.
"Bagaimanapun kita masih menunggu laporan hasil bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.
"Buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Beliau berkata, maklumat kehilangan mangsa diterima daripada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) kira-kira jam 1.20 pagi.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudiannya digerakkan dalam radius 2 kilometer dengan bantuan unit anjing pengesan K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Orang awam yang turut menyertai operasi ini berjaya menemukan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan itu.
"Pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan kematian mangsa sebelum mayat dibawa ke Hospital Sungai Siput bagi proses bedah siasat," katanya.
Mohd Khaizam berkata, berdasarkan maklumat diterima, mangsa telah pergi ke kedai seorang diri kira-kira jam 3 petang pada hari kehilangannya bagi membeli ayam.
Mangsa bagaimanapun pulang dengan tangan kosong kerana kehabisan ayam di kedai, sebelum bapa saudara menyuruhnya menunggu seketika untuk mengajaknya ke kedai lain.
"Bapa saudara kanak-kanak itu memintanya menunggu sekejap sementara dia menghabiskan kerja.
"Sepanjang tempoh menunggu itu, mangsa didapati sedang bermain buaian di kawasan itu, namun bila bapa saudara keluar dari rumah didapati mangsa sudah tiada," katanya. -Sinar Harian
#Kampung Bersah Pos Kuala Mu #Nuraina Humaira Rosli #kanak-kanak perempuan hilang #kawasan berpaya