Nur-ul Afida Kamaludin, wanita pertama sandang Ketua Pengarang Bernama

Bernama
Oktober 24, 2023 07:30 MYT
Bernama mengumumkan pelantikan Nur-ul Afida Kamaludin sebagai Ketua Pengarangnya yang baharu, berkuat kuasa Selasa. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) mengumumkan pelantikan Nur-ul Afida Kamaludin sebagai Ketua Pengarangnya yang baharu, berkuat kuasa semalam (Selasa).
Pelantikan itu mencatat sejarah apabila Nur-ul Afida, 56, menjadi wanita pertama memegang jawatan penting dalam agensi itu, yang ditubuhkan pada tahun 1967.
Nur-ul Afida mengambil alih jawatan itu daripada Jamaluddin Muhammad yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif bermula 19 Okt lepas.
Jamaluddin berkata, Nur-ul Afida mempunyai pengalaman luas dalam bidang kewartawanan dan telah memegang beberapa jawatan penting di Bernama, antaranya sebagai Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita, yang disandang sejak Jun tahun ini.
Beliau yang sebelum ini pernah menjadi Ketua Perancangan Strategik Bernama, berkhidmat di agensi ini selama 38 tahun sejak 1985.
Beliau juga pernah bertugas di pelbagai bahagian serta unit termasuk Meja Berita Am, Meja Penyuntingan Bahasa Melayu, Unit Foto serta Meja Rencana dan Penulisan Strategik, selain menjadi tenaga pengajar bagi Bernama School of Journalism sejak 2009.
- BERNAMA
#Nur-ul Afida Kamaludin #Ketua Pengarang Bernama #Pertubuhan Berita Nasional Malaysia #Jamaluddin Muhammad
;