Nur Sajat bermungkinan besar berada di luar negara - PDRM

Ridauddin Daud
April 26, 2021 14:10 MYT
Ketika ditanya adakah Muhammad Sajjad berada di Thailand, Acryl Sani berkata pihaknya masih menyiasat semua maklumat diperolehi. - Gambar fail
SHAH ALAM: Polis tidak menolak kemungkinan usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman yang kini dalam buruan mungkin berada di luar negara.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, berdasarkan beberapa maklumat diterima, beliau menyifatkan kemungkinan itu - berada di luar negara - agak kuat.
Begitupun, ketika ditanya adakah Muhammad Sajjad atau turut dikenali sebagai Nur Sajat berada di Thailand, Acryl Sani berkata pihaknya masih menyiasat semua maklumat diperolehi.
"Bagaimana dia berada di sana (Thailand) Wallahualam. Mungkin dia menggunakan kaedah tertentu yang memungkinkan dia boleh berada di luar negara. Walau apa sekalipun, kita tidak akan putus asa untuk mengesannya.
"Jadi, apa pun kita akan bantu mahkamah syariah untuk mengesan dia (Nur Sajat) kerana kes ini merupakan kes mahkamah syariah.
"Kita akan bantu mengikut kemampuan kita dan kita percaya kita telah berusaha dan kalau subjek ini berada dalam negara kita InsyaAllah kita akan dapat jejak dan kesan. Sementara waktu ini kita perlu bersabar dahulu," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Isnin.
Tambah beliau, pihaknya menerima banyak maklumat mendakwa usahawan itu berada di pelbagai lokasi.
"Maklumat ini macam-macam (diterima). Ada orang kata dia di Johor dan Kelantan. Jadi maklumat itu kita ambil tindakan dengan elemen kita di setiap tempat dan jika betul akan dapat dikesan.
"Tapi apa yang berlaku dia tiada di sana," ujarnya.
Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam sebelum ini mengeluarkan waran tangkap terhadap Muhammad Sajjad kerana gagal menghadirkan diri pada sebutan semula kesnya tanpa sebarang sebab pada 23 Februari lalu.
Difahamkan, Muhammad Sajjad bersembunyi sebaik waran tangkap dikeluarkan mahkamah.
#Muhammad Sajjad Kamaruzzaman #polis #PDRM #Acryl Sani Abdullah Sani #Thailand #mahkamah syariah #Nur Sajat
;