Nur Jazlan lakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Tajikistan

Bernama
Jun 12, 2024 10:50 MYT
Nur Jazlan ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Tajikistan Presiden Emomali Rahmon di Palace of Nation, Dushanbe. - Foto Facebook/Parlimen Malaysia
KUALA LUMPUR: Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Senator Datuk Nur Jazlan Mohamed mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Tajikistan Presiden Emomali Rahmon di Palace of Nation, Dushanbe, semalam.
Nur Jazlan berada di Tajikistan untuk menghadiri Third High-Level International Conference On International Decade For Action 'Water For Sustainable Development' 2018-2028.
Parlimen Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan dalam pertemuan itu, Rahmon menyatakan hasrat serta kepentingan mengukuhkan lagi kerjasama serta hubungan erat antara Parlimen Tajikistan dan Parlimen Malaysia.
"Perbincangan kedua-dua pihak turut menyentuh pelbagai aspek hubungan dua hala seperti pengukuhan hubungan perdagangan, ekonomi, pendidikan, kebudayaan dan pelancongan antara kedua-dua negara.
"Berkaitan soal kerjasama sektor perniagaan, Presiden Emomali Rahmon secara peribadi meluahkan rasa kagum dengan pembangunan pesat ekonomi negara," menurut kenyataan itu.
Pada pertemuan itu, Presiden Republik berkenaan turut mempelawa Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengadakan lawatan rasmi ke Tajikistan.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara itu kini dalam rangka lawatan kerja ke Asia Tengah yang melibatkan kunjungan ke Uzbekistan, Tajikistan dan Kazakhstan bermula 6 hingga 16 Jun.
-- BERNAMA
#Nur Jazlan Mohamed #kunjungan hormat #Presiden Tajikistan #Emomali Rahmon
;