Nur Hati Market dibangunkan untuk meneruskan kelangsungan hidup
Khairunnisa Kasnoon
Mac 8, 2021 09:14 MYT
Mac 8, 2021 09:14 MYT
SELANGOR: Pandemik COVID-19 nyata memberi kesan besar kepada penduduk dunia.
Kehilangan pekerjaan, hilang punca pendapatan merupakan antara impak paling ketara yang dialami banyak pihak.
Tidak terlepas, Rumah Perlindungan Nur Hati yang terletak di Ampang, Selangor ini turut terkesan akibat penularan wabak berkenaan.
Sebelum ini, rumah yang menempatkan kira-kira 55 penghuni merangkumi bayi seawal usia seminggu, kanak-kanak, remaja, ibu tunggal termasuk warga emas terabai sehingga usia 70 tahun itu memperoleh sumbangan daripada orang ramai selain pendapatan daripada Pertubuhan Kebajikan Nur Hati yang mengusahakan beberapa perniagaan seperti kafe dan jualan kuih muih.
Namun, sejak penularan wabak COVID-19 yang memaksa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksnakan, kesemua pendapatan itu terjejas.
Tidak terus mengharapkan bantuan, penghuni Rumah Perlindungan Nur Hati mengusahakan perniagaan dalam talian sebagai alternatif pendapatan mereka.
“Tertubuhnya Nur Hati Market (NHM) ini semasa COVID-19, apabila kami terjejas dengan sumbangan.
Banyak aduan yang saya terima daripada penghuni yang memaklumkan barangan harian mereka habis,” ujar Pengasas Nur Hati Market, Natasha Anuar.
Pendapatan Natasha, juga turut terjejas dan sebagai penjaga, dia tidak mampu untuk melunaskan keperluan penghuni di rumah terbabit.
Katanya, menggalas tanggungjawab yang besar itu, dia perlu membuat sesuatu agar kelangsungan hidup dapat diteruskan.
“Jadi saya berfikir macam manan nak tolong mereka ni. Apa nak buat untuk mereka. Daripada stay at home, baik work from home.
Jadi dari situlah saya terfikir, kenapa kita tak buat sesuatu yang boleh mendatangkan pendapatan dari rumah. Jadi tercetuslah Nur Hati Market ni,” ujarnya.
Kata Natasha, barang pertama yang mereka jual adalah pewangi kereta yang diperoleh daripada seorang sahabat yang berbesar hati membantu mereka.
“Daripada situ saya berkata kenapa tidak cuba, jadi saya set-up team dari rumah ini, untuk bermula daripada bawah – buat design, packaging dan sebagainya. Malah nama Nur Hati Market ni pun mereka yang berikan.
"Semua mereka lakukan sendiri, saya bantu beri petunjuk nak tuju ke arah mana,“ jelasnya lagi.
Tambahnya, produk pertama mereka, pewangi kereta mendapat sambutan menggalakkan tidak sampai sebulan berniaga.
Produk NHM dikembangkan dengan minyak wangi dan kini kerepek pedas yang seratus peratus dibuat di rumah berkenaan.
“Kerepek ni kita masak sendiri di dapur dan packing sendiri semuanya. Kami memasarkan semua produk-produk NHM ini melalui online dan offline yang mana kita letak produk di kedai-kedai makan dan pusat cucian kereta.
Sementara untuk dalam talian pada setiap malam pula, mereka yang terlibat ini akan live di Instagram dan Facebook untuk jual produk,” katanya lagi.
Natasha berkata, dengan adanya NHM penghuni-penghuni di Rumah Perlindungan Nur Hati boleh berdikari dan mempunyai duit perbelanjaan mereka sendiri terutamanya untuk membeli keperluan harian.
“NHM banyak membantu mereka untuk menampung keperluan hidup. Tidak perlu lagi nak tunggu atau harap bantuan orang ramai. Sampai bila pun nak duduk dan tunggu bantuan?
Jadi kami cuba untuk menaik taraf kehidupan penghuni Rumah Nur Hati,” tambahnya lagi.
Lebih bermakna, mereka menerima tiga buah komputer riba dan sebuah mesin pencetak dari Great Eastern Tekaful menerusi Tanggungjawab Sosial Korporatnya (CSR) untuk kegunaan penghuni rumah terbabit yang antara lain digunakan untuk pembelajaran dalam talian.
Kepada yang berminat untuk membantu, produk-produk NHM boleh didapati di Facebook https://www.facebook.com/rumahperlindungannurhati/ dan juga Instgram https://www.instagram.com/nurhatimarket/
#COVID-19
#Rumah Perlindunagn Nur Hati
#NHM
#Nur Hati Market
#sumbangan
#PKP
#perintah kawalan pergerakan