Nur Hannah cipta sejarah di pameran seni di London

Bernama
Februari 18, 2018 16:59 MYT
Nur Hannah berharap lukisan potret saudara lelakinya itu, yang akan diperagakan pada pameran berprestij berkenaan, akan merintis jalan bagi karyanya mendapat pengiktirafan dalam industri seni. - Bernama
Pelukis Malaysia yang dilahirkan di London, Nur Hannah Wan Ahmad Hulaimi, mengharumkan nama Malaysia apabila menjadi pelukis pertama negara ini yang karyanya mendapat tempat di Royal Institute (RI) of Painters in Water Colours di Mall Galleries, London.
Nur Hannah amat teruja apabila karyanya terpilih menyertai pameran ke-206 RI dari 6 hingga 20 April ini setelah beberapa kali permohonan penyertaannya ditolak sebelum ini.
Pelukis berusia 30 tahun itu juga berharap lukisan potret saudara lelakinya itu, yang akan diperagakan pada pameran berprestij berkenaan, akan merintis jalan bagi karyanya mendapat pengiktirafan dalam industri seni.
"Pameran ini menjadi platform bagi saya untuk membawa karya berkenaan ke negara lain, termasuk Malaysia. Ia juga memberi keyakinan kepada saya untuk terus berkarya dan menghasilkan lebih banyak lukisan, walaupun sibuk dengan kerjaya.
"Saya telah kemukakan lukisan potret saya itu kepada pihak pemilih selepas menamatkan pengajian beberapa tahun lepas, tetapi tidak terpilih. Tahun ini, saya cuba sekali lagi kerana saya rasa saya ada sesuatu yang patut dikemukakan," kata penyunting video sambilan itu kepada Bernama di Wisma Bernama, di sini hari ini.
Nur Hannah mengemukakan lukisan potret cat airnya itu secara digital sebagai bahagian pertama proses yang disyaratkan dua minggu lepas, sebelum mengemukakan karya sebenar bagi pusingan kedua proses berkenaan dan terpilih pada tahun ini.
Pameran itu merupakan ruang tahunan bagi mengukur bagaimana pelukis kontemporari menggunakan secara penuh berseni medium yang telah wujud sejak sekian lama itu serta menjadi tempat berprestij untuk mendapatkan karya asal yang segar dan asli.
Pameran itu juga merupakan medan seni yang mempamerkan kepelbagaian gaya dan kaedah - daripada segi penggunaan medium berkenaan secara tradisional hinggalah kepada penghasilan karya seni lukis yang lebih bersifat eksperimental dan inovatif.
Karya yang dipamerkan di situ adalah hasil lukisan angota RI dan pelukis lain, yang karya mereka dipilih Majlis RI, termasuk pelukis muda yang menggunakan media larut air dengan cara terkini dan menarik.
"Saya pilih potret saudara lelaki saya kerana saya sukakan warna serta Iorekan yang terdapat dalam lukisan itu. Saudara saya itu bersedia pada bila-bila masa untuk bergaya dan menjadi subjek bagi lukisan saya," kata pelukis berkenaan sambil mengukir senyuman.
Nur Hannah, yang sedang melanjutkan pengajian peringkat ijazah dalam jurusan Grafik dan Seni Reka Media di University of the Arts London, berkata dia menyedari bakat yang dimilikinya dalam bidang lukisan ketika berusia lima tahun.
Kata Nur Hannah, sebagai anggota media, dia membawa buku lakaran ke mana sahaja dan melakar apa jua yang didapatinya menarik.
Daripada lebih seribu penyertaan secara dalam talian, pameran terbuka pada tahun ini mencipta rekod dengan menghidangkan lebih 37 peratus daripada karya yang dihasilkan bukan anggota RI di Mall Galleries, yang dirasmikan Baginda Ratu pada 1971.
-- BERNAMA
#cat air #lukisan #lukisan potret #mall galleries #nur hannah wan ahmad #royal institute of painters #seni lukis
;