Nur Fitri wajar diberi peluang kedua - Pakar kriminologi
Sinar Harian
Ogos 25, 2019 09:28 MYT
Ogos 25, 2019 09:28 MYT
Genius Matematik, Nur Fitri Azmeer Nordin yang didapati bersalah memiliki lebih 30,000 imej dan video lucah kanak-kanak di London berhak diberi peluang kedua untuk memperbaiki diri.
Pakar kriminologi bebas, Datuk Shahul Hamid Abd Rahim bagaimanapun berkata Nur Fitri Azmeer perlu mempunyai inisiatif sendiri untuk membuktikan dia layak diberi peluang kedua berdasarkan kepada perubahan dan kesedaran diri terhadap masa lalu.
“Andai dia sudah insaf dan berubah, tidak salah untuk memberikan peluang kedua kepadanya untuk kembali bersama hidup dengan masyarakat. Namun dia perlu berubah dan insaf dengan hukuman yang dijalani sebelum ini,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Menurut beliau, masyarakat perlu percaya dengan kredibiliti pihak berkuasa United Kingdom dalam menangani perkara ini.
“Di United Kingdom isu pedofilia ini sangat serius, jadi hukuman dikenakan ke atasnya setimpal dengan kesalahan yang dilakukannya.
“Sudah tentu mereka mempunyai rekod apa rawatan, pemulihan serta ujian yang dijalankan ke atas Nur Fitri Azmeer ini sepanjang menjalani hukuman penjara di sana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memilih Nur Fitri Azmeer untuk melanjutkan pengajian di universiti itu kerana keupayaan luar biasa dan kecemerlangannya dalam pengajian.
Menurut Pusat Komunikasi Korporat UKM, pihaknya percaya pendidikan boleh membantu transformasi individu dengan memberi peluang kepada mereka untuk memperbaiki diri bagi mencapai kejayaan tertinggi dalam kehidupan.
Bagaimanapun, ia menimbulkan rasa kurang senang ramai pihak bahkan ada menasihatkan penduduk di Bangi berhati-hati kerana pesalah pedofilia kini berada di kawasan mereka.
Sebelum ini, penuntut pintar Matematik yang melanjutkan pelajaran di Imperial College di London menggemparkan negara apabila dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan kerana memiliki lebih 30,000 imej dan video lucah kanak-kanak di London, United Kingdom pada 2015.
Mahkamah Southwark Crown menjatuhkan hukuman penjara itu terhadap Nur Fitri selepas dia mengaku bersalah terhadap 17 pertuduhan memiliki bahan pedofilia dengan niat untuk mengedarkannya.
Ketika ditahan, polis mendapati penuntut yang memegang biasiswa Matematik itu memiliki 601 video dan imej lucah kategori A iaitu kategori penyalahgunaan melibatkan aktiviti seksual kanak-kanak serta beratus bahan lucah kategori B dan C.
#fidofil
#fidofilia
#genius matematik
#Imperial College
#nur fitri
#pedofilia
#Shahul Hamid Abd Rahim
#transformasi
#UKM
#Universiti Kebangsaan Malaysia