Nur Ammara Sumayyah sudah tiada
Sinar Harian
Julai 22, 2022 07:40 MYT
Julai 22, 2022 07:40 MYT
POKOK SENA: "Kami buat keputusan untuk bawa pulang Ammara Sumayyah ke rumah di Desa Keda Batu 13, Pokok Sena sehari sebelum Aidiladha selepas doktor sahkan tiada lagi rawatan yang mampu merawat sakit kansernya.
"Pada hari ketiga Aidiladha lalu, dia akhirnya pergi menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarga," kata Zulfikah Azman, 26, yang reda dengan pemergian anak keduanya itu.
Menurutnya, Ammara Sumayyah atau nama sebenarnya Nur Ammara Sumayyah Muhammad Fazli dikesan menghidap kanser neuroblastoma tahap empat menyebabkan perut membesar, kaki dan tangan mengecut selain berat badan susut.
"Kami reda dengan pemergiannya kerana tidak tahan melihat Ammara menahan sakit yang dialami. Kanser itu dikesan pada Disember tahun lalu selepas dia mengadu sakit perut dan tidak mampu berjalan.
"Ammara Sumayyah sudahpun lengkap pusingan pertama kemoterapi pada April di Hospital Pulau Pinang dan dilihat bertambah baik, namun kanser tersebut menyerang semula sehingga kesihatannya kembali merosot," katanya semasa dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Zulfikah berkata, Nur Ammara Sumayyah yang akan genap umur empat tahun pada 4 Ogos ini disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Padang Serai, Pokok Sena.
Menurutnya, penghargaan diberikan kepada semua pihak yang banyak membantu keluarganya sebelum ini bagi meringan beban antaranya Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pejabat Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Bukit Lada, Pasaraya Econsave Pokok Sena dan orang ramai.
Pada 10 Mei lalu, Sinar Harian melaporkan sepasang suami isteri di Pokok Sena diuji apabila dua anak mereka disahkan mengalami masalah kesihatan.
Zulfikah ketika itu memberitahu, anak sulungnya, Muhammad Rayyan, 7, menghidap penyakit kepala besar atau hydrocephalus manakala anak keduanya, Nur Ammara Sumayyah, 4, disahkan menghidap kanser neuroblastoma tahap empat.
Nur Ammara Sumayyah terlantar sakit akibat kanser tersebut dan tidak lagi aktif seperti kembarnya, Nur Ammara Sofia. -Sinar Harian