Nur Afini aktif sukan memanah
Raffi Bachik
Februari 13, 2018 21:15 MYT
Februari 13, 2018 21:15 MYT
Remaja perempuan Nur Afini Roslan, 14 tahun yang maut akibat terkena bilah mesin rumput di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abd Rahman, Gemas, Negeri Sembilan merupakan seorang pelajar yang aktif dalam sukan memanah.
Ibu saudaranya yang berusia 56 tahun yang enggan dikenali berkata, arwah anak saudaranya itu bersama tiga adik beradik yang lain juga pernah mewakili negeri Pahang dalam sukan itu sewaktu menetap di negeri berkenaan.
Wanita itu berkata, dia dimaklumkan mengenai insiden malang menimpa anak saudaranya itu berlaku ketika arwah sedang menjalani latihan sukan di padang sekolah sempena sambutan hari sukan sekolah itu, esok.
Katanya, kali terakhir dia bertemu Nur Afini ialah sewaktu melawat seorang ahli keluarga di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Disember lalu itu, terkejut, bagaimanapun redha dengan ketentuan Ilahi.
“Dia baru berpindah dari Pahang ke Negeri Sembilan untuk mengikut bapanya Roslan Samad, 55 tahun yang juga seorang jurulatih memanah,” katanya.
Terdahulu, jenazah Nur Afini tiba di HTJ dari Hospital Tampin pada pukul 3.45 petang bagi proses bedah siasat dan difahamkan akan dikebumi di Felda Sungai Kelamah, Gemas, malam ini.
Dalam kejadian pukul 10.30 pagi tadi itu, Nur Afini disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua pelajar lelaki berusia 13 dan 14 tahun cedera di kepala dan telinga selepas terkena peralatan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Hamzah Ab. Razak berkata, siasatan awal mendapati bilah mesin rumput itu tercabut dari traktor dan melantun ke arah kepala kedua-dua mangsa ketika pemandunya sedang memotong rumput di padang.
Pemandu traktor berusia 26 tahun juga telah ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan.
Jelasnya, difahamkan kesemua mangsa berada di padang sekolah berkenaan untuk menjalani latihan bagi acara sukan yang akan diadakan esok.