NUJM lancar tabung, bantu tingkatkan kemahiran digital bekas petugas media

Isabelle Leong
April 6, 2021 18:22 MYT
Farah (kanan) berkata tabung itu bertujuan mengumpul dana untuk mengadakan bengkel bagi melatih dan meningkatkan kemahiran digital dalam kalangan 3,000 petugas media yang kehilangan pekerjaan. - Foto Astro AWANI/ISABELLE LEONG
CYBERJAYA: Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJM) menjalinkan kerjasama dengan Pop Meals untuk melancarkan tabung bagi membantu bekas petugas media yang kehilangan pekerjaan dan sumber pencarian akibat penularan wabak COVID-19.
Presiden NUJM, Farah Marshita Abdul Patah berkata tabung itu bertujuan mengumpul dana untuk mengadakan bengkel bagi melatih dan meningkatkan kemahiran digital dalam kalangan 3,000 petugas media yang kehilangan pekerjaan sejak bermulanya pandemik berkenaan.
“Kebanyakan daripada bekas petugas media mempunyai kemahiran menulis dan kemahiran menangkap gambar.
“Namun, untuk kembali ke pasaran (untuk mencari pekerjaan), ia agak susah.
“Jadi, kami perlu mempelajari bidang lain supaya kami dapat mencari sumber pendapatan selain menulis dan menangkap gambar,” katanya kepada Astro AWANI pada majlis pelancaran kempen “Help Journos Re-skill, Enjoy Pop Meals” di sebuah pusat membeli-belah di sini pada Selasa.
Turut hadir ialah Pengurus Besar Operasi Pop Meals, Shaik Ali Fikri Bajunid dan Setiausaha Agung NUJM, Chin Sung Chew.
Farah berkata NUJM akan menganjurkan bengkel latihan semula seawal pertengahan tahun ini untuk membantu bekas pengamal media menceburi bidang baharu selain memperluaskan kemahiran dan rangkaian mereka.
Untuk peringkat permulaan, katanya, NUJM menyasarkan seramai 400 bekas petugas media untuk mengikuti bengkel tersebut.
“Kami menyasarkan untuk mengumpul RM100,000 dan sekadar usaha NUJM sahaja tidak memadai.
“Kami tidak dapat melakukannya sendiri, jadi kami betul-betul memerlukan bantuan daripada perniagaan untuk membantu kami mengumpul dana untuk menjayakan bengkel tersebut,” ujarnya.
Sementara itu, Shaik Ali Fikri Bajunid berkata pihaknya menyumbangkan wang tunai sebanyak RM5,000 dan 1,000 baucer tunai bernilai RM10 untuk pembelian makanan Pop Meals kepada ahli NUJM dan petugas media.
“Kami tahu NUJM cuba untuk melatih semula petugas media yang sudah lama dalam industri dan kami rasa Pop Meals adalah rakan kongsi yang sesuai dalam menjayakan usaha tersebut.
“Bagi membolehkan NUJM memulakan inisiatif mereka, Pop Meals menyumbangkan wang tunai sebanyak RM5,000 selain potongan RM10 kepada petugas media bagi pembelian Pop Meals sama ada di kiosk atau menerusi aplikasi dalam talian,” katanya.
#Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia #NUJM #Pop Meals #bekas petugas media #Farah Marshita Abdul Patah #Presiden NUJM #Shaik Ali Fikri Bajunid #Chin Sung Chew #COVID-19 #pandemik
;