NUJM bantah keras tindakan Fahmi Fadzil selar laporan analisis BH mengenai OPR

Fareez Azman
Mac 31, 2023 22:20 MYT
"Sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap media, Fahmi seharusnya lebih peka dengan amalan dan cara kerja media tempatan."
KUALA LUMPUR: Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) hari ini membantah sekeras-kerasnya tindakan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menyelar laporan analisis Berita Harian (BH) bertarikh 30 Mac mengenai Kadar Dasar Semalam (OPR).
Menerusi satu kenyataan media Presidennya, Farah Marshita Abdul Patah pada Jumaat, jelas NUJM, laporan BH itu adalah berdasarkan ramalan OPR yang memetik pakar kewangan.
Malah menjadi amalan media di seluruh dunia untuk menyiarkan berita berdasarkan pendapat dan unjuran pakar industri.
"Sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap media, Fahmi seharusnya lebih peka dengan amalan dan cara kerja media tempatan.
"Tindakan beliau bukan saja menjejaskan laporan BH, malah komen yang ditulis dengan menggelar laporan itu sebagai 'fitnah dan pembohongan' telah menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan pembaca terhadap media," memetik kenyataan itu.
Malah komen Fahmi itu turut dilaporkan oleh portal Malaysia Now bertajuk 'Fahmi naik angin atas laporan kemungkinan kenaikan OPR'.
Jelasnya, artikel itu turut memetik komen di laman Facebook BH yang menyatakan bahawa mereka memahami penggunaan perkataan 'dijangka'.
"Di manakah kebebasan akhbar seperti yang dijanjikan oleh kerajaan baharu jika ‘menteri’ media sendiri melabelkan artikel oleh media tempatan mengenai unjuran kewangan sebagai 'fitnah?'
"NUJM berharap menteri dapat memahami dengan lebih mendalam cara kerja dan penulisan media tempatan sebagai sumber berita yang boleh dipercayai, bertanggungjawab dan kredibel," jelasnya lagi.
#NUJM #Fahmi Fadzil #OPR #laporan media
;