NUJ kecam tindakan KDN gantung The Heat

Astro Awani
Disember 20, 2013 16:45 MYT
Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJ) mengecam tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggantung akhbar mingguan, The Heat.
Presidennya Chin Sung Chew berkata perkara itu tidak sepatutnya berlaku ketika mana Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi sepatutnya mengamalkan kebebasan media.
"Kami (media) hanya memainkan peranan dalam memantau segala salah laku kerajaan yang memerintah.
"Kita sepatutnya membenarkan rakyat mempunyai akses kepada sebarang bentuk maklumat kerana mereka mempunyai hak atas nama kebebasan maklumat terutama jika melibatkan isu-isu kepentingan awam," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Sung Chew menyifatkan tindakan yang diambil oleh KDN terhadap akhbar The Heat sebagai satu langkah kurang bijak.
"Dengan ranking kebebasan media seperti yang dilaporkan Reporters Without Borders di tempat ke-145 pada 2013, adalah tidak bijak untuk kerajaan mengambil tindakan sebegini ke atas media," tambahnya.
Sementara itu bekas presiden NUJ, Hata Wahari berkata sejarah hitam dunia kewartawanan Malaysia berulang apabila KDN memutuskan untuk mengantung permit The Heat.
"Sudah tidak terkira banyaknya akhbar-akhbar di negara ini digantung kerana menyiarkan berita, rencana dan pelbagai lagi penulisan yang menegur kerajaan dan pemimpin-pemimpinnya walaupun itu merupakan salah satu tugas utama akhbar serta wartawan," katanya dalam satu kenyataan media.
Hata juga mengajak semua semua wartawan, editor dan pemilik media untuk mengadakan demonstrasi besar-besaran dengan memilih satu hari untuk tidak membuat liputan.
"Kita kosongkan media-media atas talian, letakkan warna hitam dalam media atas talian, akhbar dan pelbagai lagi media," katanya.
Bekas wartawan kanan Utusan Malaysia itu juga mengajak semua wartawan, editor dan pemilik media memboikot daripada membuat liputan program kerajaan dan pemimpinnya sebagai reaksi kepada penggantungan The Heat.
Pada Khamis, KDN mengeluarkan arahan supaya permit akhbar mingguan The Heat digantung, dipercayai ada kaitan dengan sebuah rencana muka depan yang menyentuh soal perbelanjaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor dalam edisi keluaran 23 November lalu.
Isu itu sebelumnya berbangkit di Dewan Rakyat.
#Kementerian Dalam Negeri #Kesatuan Wartawan Kebangsaan.KDN #Media #The heat
;