NTIC pacu pelaburan bernilai tinggi di Perak - Saarani
Aida Aziz
November 7, 2023 09:15 MYT
November 7, 2023 09:15 MYT
IPOH: Pusat Inovasi Teknologi Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NTIC) yang diterajui Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) berjaya memudahkan kerjasama antara syarikat multinasional dan tempatan, khususnya dalam menarik pelabur ke Perak.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, inisiatif yang dilaksanakan NCIA itu signifikan dalam menjayakan agenda kerajaan negeri untuk meningkatkan ekosistem dan kumpulan bakat di negeri ini.
"Inisiatif NCIA ini telah berjaya menarik pelaburan, memupuk perniagaan tempatan dan memperkasa komuniti.
"Kami berharap meneruskan kerjasama dengan NCIA untuk terus menarik pelaburan, memupuk inovasi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat Perak,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Negeri (JPN) Perak, di sini, semalam.
Tambahnya, NCIA turut bekerjasama dengan Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) bagi membangunkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negeri ini.
Katanya, bagi merangsang PMKS Bumiputera untuk berkembang, NCIA menerusi program Dana Usahawan NCER telah memberi manfaat kepada 10 syarikat di Perak dengan agihan dana lebih RM16 juta.
Sementara itu, Ketua Eksekutif NCIA, Mohamad Haris Kader Sultan, berkata, pihaknya akan terus komited bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi membangun dan melaksanakan strategi yang akan meningkatkan daya tarikan negeri ini kepada pelabur.
"Kami berbangga dengan kemajuan yang telah kami capai di Perak, tetapi perjalanan tidak berakhir di sini. NCIA tetap berdedikasi untuk memupuk pertumbuhan ekonomi, inovasi dan memperkasa komuniti,” katanya.
Katanya, NCIA terus memainkan peranan penting dalam melaksanakan program berteraskan Pendidikan dan Latihan Vokasional (TVET) di Perak dan sehingga kini, seramai 5,333 peserta telah menjalani latihan kemahiran TVET bagi melengkapkan diri mereka untuk pasaran pekerjaan yang berkembang maju.
Beliau berkata, NCIA juga komited untuk memupuk PMKS yang akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan yang berkualiti untuk penduduk tempatan.
"PMKS ini termasuk melibatkan sektor perkhidmatan, pembuatan dan pertanian moden. Hasil daripada usaha tersebut, NCIA berjaya manarik kemasukan lebih RM480 juta pelaburan langsung domestik (DDI) daripada lebih 8,700 perusahaan tempatan sejak 2019,” katanya.
Mohamad Haris berkata, dalam sektor pelancongan pula, NCIA telah membantu membangunkan semula Taman Eko Rimba Lata Kinjang, dengan menaik taraf pelbagai kemudahan untuk pelancong.
Di samping bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) menubuhkan Koperasi Orang Asli Lata Kinjang, bagi menguruskan kawasan pelancongan berkenaan yang berupaya meningkatkan sosioekonomi penduduk setempat.
Sejak dibuka pada 2022, Taman Eko Rimba Lata Kinjang telah berjaya menarik seramai lebih 110,000 pelancong dari dalam dan luar negara, sekali gus membantu menjana pendapatan sebanyak RM1.27 juta.