NSIP bakal ubah landskap ekonomi selatan Selangor
Israr Khalid
April 8, 2023 15:58 MYT
April 8, 2023 15:58 MYT
KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah, NCT Group of Companies yakin dapat memacu aktiviti ekonomi di selatan Selangor dengan kewujudan Taman Perindustrian Pintar NCT (NSIP).
Projek mega seluas 732.5 ekar di kawasan Pembangunan Serantau Bersepadu Selatan Selangor (IDRISS) itu melibatkan tiga fasa dengan nilai pembangunan kasar (NPK) dijangka mencecah RM10 bilion.
Menurut Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan NCT Group, Datuk Seri Yap Ngan Choy, fasa pertama sudah dimulakan dan dijangka siap pada awal 2025.
“Setakat ini, NCT Group telah memperoleh tempahan sebanyak 40 peratus untuk pembangunan fasa pertama NSIP.
“NSIP menandakan langkah besar dalam penerapan teknologi Industri 4.0 yang menggalakkan kerjasama dan inovasi, meneraju perniagaan untuk terus berada di hadapan dan memanfaatkan peluang yang wujud dalam pendigitalisasian,” katanya pada majlis pecah tanah NSIP, di sini, pada Jumaat.
Hadir menyempurnakan majlis tersebut adalah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Fasa pertama NSIP melibatkan kawasan seluas 230 ekar meliputi 101 unit dan 27 plot menampilkan kilang dan plot perindustrian dengan nilai pembangunan kasar (NPK) RM2 bilion.
Hasil sokongan Invest Selangor, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), NSIP berjaya memperoleh pelabur pertama, YuePu, bagi pembelian plot tanah seluas 48.05 ekar untuk dimajukan.
NSIP merupakan taman perindustrian berpagar dan terkawal pertama di Malaysia yang diperakui oleh pihak berkuasa tempatan negeri, menampilkan teknologi kecerdasan buatan (AI), Internet Kebendaan (IoT), analisis data tercanggih serta pelbagai kemajuan terkini dalam digitalisasi dan automasi.
Sebagai sebuah Taman Industri Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dengan pengiktirafan GreenRE, kilang-kilang di NSIP akan dilengkapi tenaga solar, sistem penuaian air hujan serta sistem pengurusan sisa dan air.
Pada masa sama, NSIP turut akan menubuhkan Pusat Bakat 4IR dengan kerjasama 20 universiti dan institusi Pendidikan dan Latihan Vokasional (TVET) untuk memacu evolusi tempat kerja generasi masa depan.
“Dengan projek sebesar ini sedang berjalan, kami berharap dapat mewujudkan lebih daripada 50,000 peluang pekerjaan ketika pembinaannya dan banyak lagi untuk rakyat Malaysia apabila ia siap kelak,” kata Yap.