NRES tingkat kerjasama dengan KDN bendung proses e-waste haram - Nik Nazmi

Bernama
April 5, 2024 06:16 MYT
Nik Nazmi (dua, kanan) mengadakan lawatan ke premis haram memproses e-waste di Jalan Kebun, Klang, 5 Apr 2024. Turut hadir Ketua Pengarah Alam Sekitar, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaafar (tiga, kiri). --fotoBERNAMA
KLANG: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan memperluas skop kerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memperkasakan aktiviti penguatkuasaan untuk membendung kegiatan pemprosesan sisa buangan elektrik dan elektronik (e-waste) secara haram.
Menteri berkenaan Nik Nazmi Nik Ahmad berkata perkara itu akan dibawa ke Kabinet untuk diperhalus segera berikutan peningkatan kegiatan penyeludupan e-waste dari luar ke negara ini yang menyumbang kepada pencemaran alam sekitar.
"Selain polis, kita juga sudah ada kerjasama dengan pihak kastam dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) tetapi situasi semasa menuntut kita mempertingkatkan lagi aspek penguatkuasaan bagi memastikan aktiviti pemprosesan sisa buangan itu dapat dikawal dan diatasi sebaik mungkin.
"Hal ini kerana sejak China mengetatkan kemasukan sisa barangan ke negara itu pada 2018, aktiviti terbabit banyak beralih ke negara kita, tidak terkecuali negara jiran terdekat kita," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan ke sebuah premis pemprosesan e-waste haram di Jalan Kebun di sini semalam.
Berhubung tinjauan ke premis terbabit, Nik Nazmi berkata ia dilakukan susulan pihaknya menerima aduan terdapat aktiviti pemprosesan e-waste yang menyebabkan berlakunya pencemaran bau dan udara yang mengganggu kesejahteraan penduduk di sekitar kawasan berkenaan.
Beliau berkata siasatan awal JAS pada 5 Jan lepas mendapati premis itu menjalankan aktiviti pulih guna buangan terjadual secara separa bagi buangan e-waste dan bateri terpakai yang melibatkan proses pengasingan dan peleraian.
Katanya, selain buangan pepejal, premis terbabit yang didapati beroperasi tanpa kelulusan daripada JAS dan pihak berkuasa tempatan itu juga menjadi tempat penstoran bagi sisa plastik dan skrap logam.
Sehubungan dengan itu, Nik Nazmi berkata premis berkenaan telah dikenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38 (1), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) bagi menghentikan sebarang aktiviti pulih guna buangan terjadual.
Pemilik premis juga turut diberikan Notis Arahan di bawah Seksyen 31 dan 37 AKAS 1974 untuk melupuskan buangan terjadual tebabit ke premis yang dilesenkan oleh JAS di bawah Seksyen 18(1), AKAS 1974, katanya.
Beliau berkata JAS sedang menyediakan kertas siasatan agar tindakan mahkamah dapat diambil terhadap premis berkenaan atas kesalahan tidak mempunyai lesen bagi menjalankan aktiviti itu.
-- BERNAMA
#e-waste #penguatkuasaan #sisa buangan elektrik dan elektronik #Nik Nazmi Nik Ahmad
;