NRES lindungi flora dan fauna melalui inovasi digital
Afiezy Azaman
Mac 3, 2024 12:00 MYT
Mac 3, 2024 12:00 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) berharap kesedaran mengenai kepentingan inovasi digital dan inisiatif untuk menggalakkan penggunaannya akan terus diperkukuhkan.
Menurut Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad, ia selari dengan tema Hari Hidupan Liar tahun ini iaitu "Menghubungkan Manusia dan Planet: Meneroka Inovasi Digital dalam Pemuliharaan Hidupan Liar", yang disambut hari ini.
Katanya, tema ini dipilih bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan inovasi digital dalam usaha mengukuhkan konservasi fauna dan flora liar termasuk aspek penyelidikan, komunikasi, pengesanan dan analisis DNA secara lebih mudah, cepat dan berkesan.
"Dalam aspek hidupan liar, NRES melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia telah mengambil inisiatif untuk meneroka penggunaan teknologi.
"Antaranya melalui penggunaan perangkap kamera yang dilengkapi dengan kecerdasan buatan (AI) bagi memantau spesies hidupan liar, penggunaan Kenderaan Udara Tanpa pemandu (UAV) seperti dron untuk memantau kehadiran dan pergerakan hidupan liar serta penggunaan satelit bagi pembangunan sistem amaran awal," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nik Nazmi berkata, selain memastikan kelangsungan hidup Harimau Malaya di habitat semula jadi (in-situ), konservasi ex-situ adalah kritikal kerana populasi Harimau Malaya di habitat semula jadi adalah sangat rendah.
Justeru beliau berkata, Jabatan PERHILITAN telah memperkasakan Makmal Forensik Hidupan Liar Kebangsaan dengan perolehan peralatan makmal berteknologi tinggi untuk meningkatkan kapasiti forensik, konservasi ex-situ, bio-banking; Laboratory Information Management Systems (LIMS) dan pengawasan penyakit zoonotik.
"Pendekatan ini boleh meningkatkan pelaksanaan program pembiakan secara aruhan (assisted reproductive technology - ART) bagi membantu menambahkan populasi Harimau Malaya dalam kurungan melalui kaedah 'artificial insemination'.
"Dalam aspek pengurusan hutan pula, NRES melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) telah memanfaatkan penggunaan teknologi seperti sistem Forest Monitoring using Remote Sensing (FMRS) bagi mengesan sebarang perubahan yang berlaku di dalam Hutan Simpanan Kekal di Semenanjung Malaysia.
"Jabatan Perhutanan Sabah dengan kerjasama Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) telah membangunkan sistem iForSabah dengan menggunakan imej satelit sebagai langkah pemantauan jarak jauh bagi mengesan sebarang perubahan yang berlaku dalam kawasan hutan simpan di Sabah.
"Manakala, Jabatan Hutan Sarawak telah membangunkan sistem Continuous Monitoring of Surveillance (COMOS) yang menggabungkan analisis imej satelit dan menentusahkan titik kordinat dengan menggunakan sistem cerapan udara hiperspektral bagi membantu tindakan penguatkuasaan di lapangan," katanya.
Nik Nazmi turut mengajak orang ramai untuk berganding bahu melindungi serta memulihara fauna dan flora liar yang merupakan khazanah negara yang amat berharga.