NRES giat bangunkan Dasar Mineral Negara Ketiga - Nik Nazmi

Bernama
Oktober 23, 2024 06:00 MYT
Nik Nazmi berucap semasa merasmikan "Asia Iron Ore Summit 2024" pada Rabu. - Foto Facebook/NRES
KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) mempergiat usaha memperkukuh kawal selia bagi industri mineral menerusi kerangka Dasar Mineral Negara 3 (DMN3).
Menteri Nik Nazmi Nik Ahmad berkata dasar yang dibangunkan bersama Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) itu bertujuan menjadi pemacu utama ekonomi negara dalam sektor mineral.
Beliau berkata DMN3 akan menumpukan eksploitasi sumber mineral yang mampan sambil menyeimbangkan pembangunan ekonomi dengan pemuliharaan alam sekitar.
"Melalui pendekatan holistik ini, kami berharap sektor mineral akan memberikan impak signifikan kepada Keluaran Dalam negara kasar (KDNK), menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI), dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi mampan sambil memastikan pemeliharaan sumber asli untuk generasi akan datang.
"Strategi ini bukan hanya melindungi warisan semula jadi Malaysia tetapi juga menempatkan negara sebagai peneraju utama dalam pembangunan mineral hijau untuk ekonomi global masa hadapan," katanya semasa merasmikan "Asia Iron Ore Summit 2024" di sini pada Rabu.
Nik Nazmi berkata DMN3 diwujudkan berasaskan Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2021-2030 (TIM 2021-2030), bertujuan menggalakkan pertumbuhan dalam sektor mineral melalui strategi komprehensif termasuk penggunaan teknologi canggih dan inovasi dalam pengeluaran serta pemprosesan mineral.
Dalam ucapannya, beliau turut menyentuh mengenai peranan penting China dalam Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN mengenai Minerals Plus Three group (ASOMM+3) yang merangsang kerjasama dalam pembangunan sumber mineral dengan rakan utama ASEAN di Asia Timur iaitu China, Jepun dan Korea Selatan.
"Malaysia sebagai pengeluar mineral penting, berpeluang mendapat manfaat daripada kerjasama ini dengan menarik pelaburan China, memanfaatkan kecanggihan teknologi perlombongan, dan memastikan amalan mampan.
"Kerangka kerja ini juga membolehkan Malaysia mengakses pasaran yang lebih besar, memperkukuh peraturan alam sekitar selain memperoleh manfaat daripada kemajuan teknologi hijau," katanya.
Nik Nazmi juga percaya sidang kemuncak itu bakal mencetuskan kemajuan positif, menggalakkan inovasi serta mengukuhkan nilai bersama sambil memainkan peranan penting membina kerjasama dan perkongsian dalam sektor ferus.
"Sambil terus mempromosikan pembangunan hijau dalam pasaran besi dan iron ore di Malaysia, saya yakin kerajaan, industri serta institusi penyelidikan akan bekerjasama membentuk dasar dan peraturan berkesan selain menggalakkan penyelidikan dan pembangunan," katanya.
-- BERNAMA
#KDNK #pelaburan langsung asing #NRES #sektor mineral
;