NRES cadang serah kuasa kepada PDRM perkasa usaha tangani jenayah alam sekitar - Nik Nazmi

Bernama
Mac 6, 2025 13:30 MYT
Nik Nazmi berkata langkah yang dicadangkan itu dilihat akan memberi 'kuasa lebih keras' kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap pesalah. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sedang mempertimbangkan untuk menyerahkan kuasa di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memperkasa usaha menangani jenayah alam sekitar.

Ringkasan AI
  • NRES sedang mempertimbangkan untuk menyerahkan kuasa di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kepada PDRM bagi memperkasa usaha menangani jenayah alam sekitar.
  • Cadangan lain termasuk meletakkan jenayah alam sekitar di bawah AMLA 2001 dan POCA 1959 untuk memberi kuasa lebih keras kepada pihak berkuasa.
  • NRES juga mahu menyenaraihitamkan syarikat yang melanggar undang-undang dan mengharamkan import sisa dari negara yang tidak meratifikasikan Konvensyen Basel.

Menteri berkenaan Nik Nazmi Nik Ahmad berkata cadangan lain termasuk meletakkan jenayah alam sekitar di bawah Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001 dan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.
Beliau berkata langkah yang dicadangkan itu dilihat akan memberi 'kuasa lebih keras' kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap pesalah.
"Kita juga mahu menyenaraihitamkan syarikat yang kerap melanggar undang-undang, mewujudkan perundangan khusus bagi pengurusan pengimportan sisa, meminda Akta Pelabuhan serta Peraturan Zon Bebas bagi mengambil tindakan terhadap ejen perkapalan yang membuat perisytiharan palsu, selain mengharamkan import sisa dari negara yang tidak meratifikasikan Konvensyen Basel.
"Tindakan ini selari dengan prinsip kita yang memberi keutamaan kepada pengurusan sisa domestik dan tidak mahu Malaysia menjadi 'tong sampah dunia'. Untuk rekod, sejak 2015 hingga 2023, sebanyak 764,453 tan metrik e-waste (sisa elektrik dan elektronik) tempatan telah dihasilkan," katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Nik Nazmi berkata demikian ketika menjawab soalan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) mengenai tindakan tegas yang diambil NRES dalam membanteras penyeludupan e-waste ke dalam negara, susulan serbuan besar-besaran ke atas kilang haram memproses sisa elektronik di beberapa negeri baru-baru ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata hasil serbuan tersebut melibatkan pemeriksaan ke atas 47 premis dan berjaya menyita 15,764 tan metrik e-waste yang dianggarkan bernilai RM55 juta.
Nik Nazmi turut berkongsi cabaran yang dihadapi pegawai dalam menangani isu penyeludupan e-waste.
"Ada pegawai kita, dapat panggilan video daripada tauke besar tunjuk video anak mereka (pegawai) di sekolah (ugutan). Ini membuktikan betapa seriusnya isu e-waste ini di Malaysia," katanya.
Beliau turut memaklumkan NRES dengan kerjasama pihak berkuasa termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia, berjaya menahan sebanyak 329 kontena daripada memasuki negara pada tahun lepas, manakala 15 kontena direkodkan ditahan setakat Februari tahun ini.
-- BERNAMA
#Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam #Nik Nazmi #Jenayah Alam Sekitar #serahkan kuasa #PDRM #Dewan Rakyat
;