NRECC, Ocean Cleanup bekerjasama kurangkan pencemaran plastik di sungai Malaysia
Bernama
November 28, 2023 08:15 MYT
November 28, 2023 08:15 MYT
PUTRAJAYA: Kerajaan komited membanteras pencemaran sungai dan menyediakan persekitaran lebih bersih serta sihat untuk negara menerusi kerjasama dengan The Ocean Cleanup, sebuah projek antarabangsa bukan berasaskan keuntungan dengan misi membersihkan lautan dunia daripada bahan itu.
Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) dalam kenyataan semalam memaklumkan kerjasama itu dimeterai melalui Memorandum Kerjasama yang ditandatangani oleh Ketua Setiausaha NRECC Dr Ching Thoo Kim dan Pengasas The Ocean Cleanup merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya Boyan Slat.
Menurut NRECC, kedua-dua pihak akan mempromosi dan membangunkan kerjasama dalam penyingkiran serta pengurusan sisa plastik sungai di Malaysia dalam usaha mengurangkan aliran bahan itu ke lautan.
"Menerusi kerjasama ini, kehebatan teknologi, keupayaan penyelidikan dan pengalaman global The Ocean Cleanup boleh dimanfaat untuk mempertingkat keupayaan kita untuk menangani pelbagai cabaran yang disebabkan oleh sisa plastik.
"Kami amat berharap kami dapat menjadi pemangkin perubahan dan menjadi penanda aras baharu dalam perjuangan dunia menentang pencemaran plastik dengan bergabung tenaga," kata Ching sambil menambah mereka akan menjalin kerjasama rapat dengan berkongsi pengetahuan teknikal, data dan pengalaman.
Kenyataan itu juga menyebut The Ocean Cleanup telah bergiat secara aktif di Malaysia sejak 2018 melalui jalinan kerjasama dengan Landasan Lumayan Sdn Bhd untuk menggunakan dua teknologi pembersihan sungai yang dikenali sebagai Interceptor Asli di Sungai Klang.
Menurut kenyataan itu, Interceptor 002 telah dipasang di sungai tersebut pada 2019 manakala Interceptor 005, yang pembinaan dan penghantarannya dibiayai oleh kumpulan muzik Coldplay, terus membantu meningkatkan kecekapan teknologi tempatan sekali gus menghasilkan pembersihan sungai yang lebih cepat dan berskala sejak 2021.
-- BERNAMA