NRECC bersedia hadapi krisis air akibat El Nino
Astro Awani
April 17, 2023 22:27 MYT
April 17, 2023 22:27 MYT
KUALA LUMPUR: Analisis dan pemodelan cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan fenomena El Nino yang melanda dari April hingga September depan memberi impak negatif kepada Malaysia dengan menyebabkan kuantiti hujan yang kurang.
Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) dalam satu kenyataan memaklumkan, cuaca kering akan menyebabkan paras air sungai menurun dan empangan menjadi kering.
"Keadaan itu akan mengakibatkan kuantiti air mentah yang boleh diolah akan berkurangan.
"Malaysia tidak terkecuali daripada impak perubahan iklim, walaupun kita menerima jumlah hujan tahunan yang tinggi jika dibandingkan dengan kebanyakan negara di dunia.
"Namun begitu, pengagihan hujan adalah tidak sekata di seluruh negara," kata jelas kenyataan itu.
Jelas kenyataan itu lagi, empangan dibina untuk menyimpan dan mengawal aliran sungai untuk membekalkan air mentah ke loji rawatan air bagi memastikan bekalan air mentah sentiasa mencukupi,
"Berdasarkan rekod, hampir semua 24 empangan bekalan air di seluruh Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan yang dipantau secara aktif setiap hari oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah mencapai paras penyimpanan di atas 80 peratus.
"Beberapa empangan seperti empangan Teluk Bahang, Air Itam di Pulau Pinang dan empangan Lebam, Upper Lanyang dan Sembrong di Johor, serta empangan Muda di Kedah didapati mempunyai bekalan sekitar 60 peratus. Bagaimanapun, semasa situasi kecemasan, empangan Mengkuang (penyimpanan semasa sekitar 90 peratus) dapat mengalirkan air mentah ke loji rawatan air Sungai Dua dengan kapasiti rawatan sebanyak 1,228 juta liter sehari.
"Empangan Mengkuang (dengan kapasiti 73 juta meter padu) telah dinaik taraf atau diperbesarkan di bawah pembiayaan Kerajaan Persekutuan yang telah disiapkan pada tahun 2017," jelas kenyataan itu.
Dalam pada itu kenyataan itu menjelaksn, operator air akan selalu membuat pengumuman kepada orang ramai untuk memaklumkan status bekalan air semasa dan bersedia meminimumkan kesan kekurangan air semasa musim kemarau yang berpanjangan.
"Pengurusan situasi kekurangan air itu akan turut melibatkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) dan MetMalaysia untuk aktiviti pembenihan awan," jelas kenyataan itu.
NRECC melalui agensinya, seperti SPAN, komited mengatasi isu ini dengan mengambil tindakan-tindakan berikut:
i. Memantau semua aras air sungai dan empangan yang membekalkan air mentah kepada loji rawatan air;
ii. Mengaktifkan Pelan Tindak Balas Kecemasan (ERP) untuk bekalan air sekiranya aras air sungai dan empangan menjadi terlalu rendah;
iii. Meneroka semua sumber air untuk meningkatkan ketersediaan bekalan air mentah semasa musim kemarau. Ini termasuklah mengeksploitasi air bawah tanah atau tasik. Pengendali empangan bekalan air akan diberitahu untuk memastikan empangan mereka diisi sepenuhnya semasa musim hujan supaya kapasiti mereka dapat mencukupi semasa cuaca kering;
iv. Orang ramai digalakkan untuk menjimatkan penggunaan air dalam kegunaan harian semasa cuaca kering. Industri dan pengguna komersial juga digalakkan untuk melaksanakan langkah menjimatkan air seperti menggunakan air alternatif untuk operasi bukan-potabel. Ini akan membantu mengurangkan permintaan air dan membantu kita mempunyai cukup air semasa cuaca kering;
v. Dalam situasi yang kritikal, sekatan penggunaan sekatan ke atas penggunaan air tidak penting mungkin dikenakan jika diperlukan, seperti penyiraman rumput dan taman. Keperluan ini disediakan di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air di mana Menteri boleh memberi sekatan penggunaan air semasa kecemasan;
vi. Pengendali air akan diberi arahan untuk meningkatkan kecekapan operasi mereka seperti melakukan pembaikan kebocoran paip dengan cepat kerana ia boleh mengelakkan pembaziran;
vii. Melakukan penghasilan awan di empangan dan kawasan tangkapan untuk meningkatkan air permukaan;
viii. Menyediakan sokongan logistik dalam memobilisasi bekalan air seperti trak tangki dan tangki statik di kawasan yang terjejas; dan
ix. Pengagihan air akan dilaksanakan sekiranya sumber air tidak mencukupi untuk bekalan air normal. Pengagihan akan membantu pengendali untuk memanjangkan sumber air mereka sepanjang cuaca kering.