NR-REE: Jangan jadi ‘harapkan pegar, pegar makan padi’ - Sultan Nazrin

Abd Razak Mohd Ali
Februari 23, 2024 10:40 MYT
Sultan Nazrin Shah berkenan memeriksa Kawalan Kehormat Utama sempena perasmian Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Kedua Persidangan DUN Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, hari ini. --fotoBERNAMA
IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mahu agar tindakan tegas diambil terhadap pegawai penguatkuasa yang bersekongkol dengan aktiviti pelombongan haram unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE).
Menurut baginda, NR-REE yang begitu berharga telah menarik perhatian pihak-pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan melakukan pencerobohan dan menjalankan operasi mengeluarkan mineral secara haram.
Baginda bertitah, pencerobohan dan operasi secara haram itu akan menyebabkan ketirisan hasil negeri, di samping menyebabkan berlakunya aktiviti perlombongan tidak terkawal dan tidak mengikut garis panduan yang dibimbangkan berpotensi memberi kesan negatif kepada alam sekitar dan kesihatan masyarakat.
“Tindakan tegas dan pantas perlu diambil oleh agensi-agensi penguat kuasa terutama oleh Jabatan Perhutanan.
“Perbuatan ‘harapkan pegar, pegar makan padi’ jika berlaku dalam kalangan pegawai penguat kuasa yang bersekongkol dengan peneroka haram, hendaklah segera disiasat, dikenal pasti dan diambil tindakan tegas tanpa sebarang kompromi,” tegas baginda.
Baginda bertitah pada istiadat pembukaan rasmi Dewan Negeri Perak Kelima Belas di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.
Menurut baginda, NR-REE merupakan sumber mineral baharu, yang berpotensi menjana hasil negeri dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak, menganggarkan terdapat 1.69 juta tan metrik deposit NR-REE di negeri Perak, dengan anggaran nilai RM 40 bilion.
Baginda bertitah, pelaksaan projek perintis di kawasan seluas 88 hektar, di Mukim Kenering, Hulu Perak telah menghasilkan pengeluaran hampir 6,200 tan metrik karbonat REE bagi membolehkan kerajaan negeri memperolehi royalti RM25.2 juta tahun lalu.
Dalam tahun ini pula, titah Sultan Nazrin, kerajaan negeri menyasarkan perolehan royalti melalui sumber mineral baharu itu akan mencecah RM50 juta.
Pada Disember lalu, media melaporkan seramai 31 individu termasuk 21 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan aktiviti penerokaan bahan mentah NR-REE secara haram di Hutan Simpan Bintang Hijau, Hulu Perak.
Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, serbuan yang merupakan kerjasama pihaknya dan Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk) melalui Op Khazanah itu dilakukan di beberapa lokasi berasingan.
#Sultan Nazrin Shah #pelombongan haram #REE #unsur nadir bumi
;