NPGRP pastikan penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap - KSN

Bernama
Julai 30, 2021 15:50 MYT
Mohd Zuki berkata dasar itu bagi menggantikan Dasar Negara bagi Pembangunan dan Pelaksanaan Peraturan (NPDIR) yang dilaksanakan selama lima tahun sebelum ini.- Gambar fail
PUTRAJAYA: Dasar Negara Bagi Amalan Baik Peraturan (NPGRP) yang mengandungi penambahbaikan peraturan baharu dan sedia ada dilancarkan hari ini dalam usaha melahirkan penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap, berkesan dan telus.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata ia bagi menggantikan Dasar Negara bagi Pembangunan dan Pelaksanaan Peraturan (NPDIR) yang dilaksanakan selama lima tahun sebelum ini.
Beliau berkata semua kementerian serta agensi kerajaan persekutuan perlu mematuhi Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2021 berkaitan NPGRP yang telah digubal dan diedarkan oleh Jabatan Perdana Menteri.
"Impak pelaksanaan (NPGRP) ialah ia akan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan dan penjimatan kos pematuhan secara berterusan dan dapat mengurangkan beban peraturan yang tidak wajar kepada peniaga dan rakyat secara keseluruhan," katanya ketika melancarkan NPGRP secara maya hari ini.
Menurutnya NPGRP yang bertemakan "Merangsang Produktiviti Menerusi Peraturan Berkualiti" menekankan kepentingan pembangunan dan pelaksanaan peraturan yang berkualiti dalam memastikan persekitaran perniagaan yang kondusif untuk pertumbuhan produktiviti dan daya saing negara.
Mohd Zuki berkata kerajaan telah mengambil langkah proaktif untuk menambah baik ekosistem peraturan negara agar lebih tangkas dan responsif dalam menghadapi situasi yang sukar akibat pandemik COVID-19.
Katanya amalan baik peraturan merupakan salah satu elemen penting dalam persekitaran perniagaan sebagai menyokong usaha negara untuk mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi pada kadar 4.5 peratus tahun ini.
"Pelaksanaan NPGRP akan memperkasa pertumbuhan produktiviti yang pesat dan menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara," katanya.
Mohd Zuki berkata pelaksanaan NPGRP itu dilengkapi dengan Buku Panduan Amalan Baik Peraturan sebagai rujukan pihak kementerian dan agensi kerajaan.
"Saya menggesa kementerian dan agensi kerajaan, penggubal dan pengawal selia polisi dan peraturan untuk bertindak dengan lebih proaktif dalam membangunkan peraturan yang lebih berkualiti dan membuat semakan terhadap peraturan sedia ada agar ia menjurus kepada kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara," katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata NPGRP merupakan dasar baharu yang mampu membantu Malaysia meningkatkan produktiviti dan daya saing negara.
"Pendekatan NPGRP menambah baik tahap produktiviti perniagaan ke arah yang lebih tinggi dan pada masa yang sama memastikan sistem pengawalseliaan yang berkesan, cekap dan bertanggungjawab dalam mengukuhkan tadbir urus sektor awam.
"Ini seterusnya membawa kepada situasi ekonomi yang lebih baik dan dapat meningkatkan kualiti hidup rakyat," katanya.
Beliau berkata MPC diberi tanggungjawab sebagai agensi peneraju untuk memudah cara, memberi nasihat dan memastikan pelaksanaan NPGRP yang komprehensif dan efektif oleh institusi kerajaan.
-- BERNAMA
#NPGRP #Dasar Negara Bagi Amalan Baik Peraturan #ketua setiausaha negara #Mohd Zuki Ali #perkhidmatan awam
;