NOW dakwa YAPEIM guna dana anak yatim untuk program kursus kahwin di Paris

Mariah Ahmad
November 16, 2015 16:25 MYT
AKMAL: Apakah kewajaran YaPEIM bagi penganjuran kursus di Paris dengan kos RM290,000? Tidak adakah anak yatim atau miskin di Malaysia ini yang lebih layak dan memerlukan untuk dibantu YaPEIM? - Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR
National Oversight and Whistleblowers (NOW) hari ini mendakwa Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) telah menggunakan RM290,000 untuk membiayai dua program kursus kahwin di Paris, Perancis melalui dana Yayasan Pembangunan Anak Yatim dan Miskim (PEMANGKIN).
Menurut Ketua Pengarah NOW, Akmal Nasir, dua program tersebut diadakan secara berturut-turut pada hujung tahun 2014 dan awal tahun 2015.
"Aktiviti pertama dikenali sebagai 'Kursus dan Kembara Santun 2014 Kelab Santun Eropah' yang berlangsung bagi tempoh 20 Disember 2014 sehingga 28 Disember 2014 dengan kos RM176,500.
"Pembiayaan kedua dibuat atas nama 'Program Transformasi Warga Santun Kelab Santun Eropah' yang berlangsung dari 29 Disember 2014 sehingga 3 Januari 2015 dengan kos RM113,500," tambah Akmal dalam satu sidang media di NOW Centre di sini, hari ini.
Jelas Akmal, kedua-dua program ini dikatakan hanya melibatkan 100 peserta yang terdiri daripada rakyat Malaysia yang menetap di Paris.
Tambah beliau, penganjuran program di Paris ini tidak mencerminkan matlamat serta amal jariah YAPEIM.
"Apakah kewajaran YAPEIM bagi pengajuran Kursus Perkahwinan, Kekeluargaan, Keusahawan dan Pengurusan di Paris dengan kos RM290,000?
"Tidak adakah anak yatim atau orang miskin di Malaysia ini yang lebih layak dan memerlukan untuk dibantu YAPEIM?" soal Akmal.
Beliau berkata, lebih setengah juta rakyat Malaysia membuat potongan gaji pada setiap bulan untuk didermakan YAPEIM untuk tujuan amal jariah dan kebajikan bukan dibelanjakan untuk penganjuran program-program di luar negara.
Akmal juga menyeru Menteri di Jabatan Perdana Datuk Seri Jamil Khir Baharom untuk menjawab persoalan-persoalan berkenaan dengan rakyat bukan dengan mencabar beliau di mahkamah.
Terdahulu, Jamil Khir membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya pada Ahad berhubung dakwaan beliau menyalahgunakan hasil sumbangan orang ramai bagi membiayai perjalanan ke luar negara.
Ia berikutan dakwaan Akmal Nasir dalam satu laporan The Malaysian Insider pada Jumaat lepas, mengenai lawatan Jamil Khir dan mendedahkan beberapa dokumen yang merujuk kepada perbelanjaan menteri itu ke luar negara untuk menghadiri program dan dibiayai YaPEIM.
#National Oversight and Whistleblowers #NOW #Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia
;