Novel Pantai kasih akan terus digunakan dalam Tingkatan 4
Mariah Ahmad
Februari 12, 2016 17:11 MYT
Februari 12, 2016 17:11 MYT
Novel Pantai Kasih edisi murid karya Azmah Nordin akan terus digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran murid Tingkatan Empat bagi zon tiga, yang melibatkan negeri Melaka, Pahang, Kelantan dan Terengganu.
Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Dasar), Datuk Seri Khairil Awang berkata, ahli Mesyuarat Profesional Kementerian Pendidikan Malaysia pada 28 Januari sebulat suara memutuskan keputusan meneruskan novel berkenaan dalam kurikulum pelajar Tingkatan Empat di empat negeri berkenaan.
"Kementerian telah mengambil tanggungjawab dengan mengadakan beberapa perjumpaan dan perbincangan dengan pensyarah, Guru Cemerlang, Panel Penilai, penggiat bahasa dan kesusateraan.
"Perbincangan tersebut memutuskan bahawa novel Pantai Kasih mempunyai elemen kebolehajaran dari aspek keindahan bahasa, kosa kata dan tata bahasa," kata Khairil dalam satu sidang media pada Khamis di Kementerian Pendidikan Malaysia.
Beliau juga berkata novel ini turut dapat merangsang murid berfikir secara matang dan rasional dalam membuat justifikasi.
Khairil juga berkata istilah sains dalam novel ini tidak dinyatakan secara eksplisit, sebaliknya diungkap dalam gaya penulisan sastera yang mengandungi banyak kiasan perlambangan.
Beliau menjelaskan ayat "tanpa kerelaan" merujuk kepada rogol.
Manakala ayat "terlucut sel daripada genetik istimewa milik Dr Sadiz", jelasnya merujuk kepada air mani.
Khairil juga menjelaskan ayat "berenang untuk menemui dan bersenyawa dengan ovum yang sihat lagi subur di dalam rahim Raiha" merujuk kepada proses persenyawaan.
Lantaran itu, Khairil menyeru guru untuk memainkan peranan penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran bagi meningkatkan kemahiran berfikir secara aras tinggi.
"Guru harus menggalakkan murid menggunakan pelbagai strategi pembelajaran dengan kaedah pemikiran konvergen dan divergen," kata Khairil.
Polemik novel tersebut bermula pada awal bulan Januari lepas, apabila ramai pengguna media sosial mempersoalkan penggunaa novel tersebut sebagai teks komponen sastera atau Komsas.
Novel berkenaan mengisahkan kerjaya doktor dan jururawat di sebuah hospital swasta.
Tema novel tersebut adalah mengenai ketabahan seorang wanita menghadapi pelbagai rintangan dalam hidupnya.
#kontroversi novel Pantai Kasih
#Novel Pantai Kasih terus digunakan
#novel Pantai Kasih untuk Tingkatan 4