#NoToLanun: Penguatkuasaan perlu diubah, mudahkan layari OTT

Harits Asyraf Hasnan
Mac 12, 2021 08:00 MYT
Ngai Yuen berkata, pentingnya pendidikan sivik dalam kalangan pengguna sendiri dalam memastikan setiap kandungan yang diakses adalah secara sah. - Foto The Launchpad
KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan terhadap aktiviti cetak rompak perlu diubah seiring perkembangan teknologi semasa yang semakin meningkat.
Penerbit, pengarah dan aktivis Low Ngai Yuen berkata, cabaran yang mendepani pengkarya seni pada zaman teknologi canggih ketika ini memerlukan proses penguatkuasaan yang berkesan.
"Semestinya ramai yang mengatakan, kalau ada undang-undang tetapi tak ada penguatkuasaan, apa guna ada undang-undang.
"Dalam konteks penguatkuasaan, kita tahu mereka ini adalah lanun (cetak rompak). Kalau sudah namanya 'lanun', dia bukan terpampang secara jelas untuk kita tangkap mereka, ia bukan sesuatu yang senang.
"Jadi, saya faham dari segi (kekangan) penguatkuasaan. Namun, saya juga merasakan dari sudut penguatkuasaan mereka boleh guna teknologi berlainan untuk atasi masalah, kerana mereka tidak dapat pergi merata tempat untuk hentikannya," ujarnya ketika dihubungi Astro AWANI.
Jelas Low, para pemain industri bersama kerajaan dan agensi berkaitan boleh mempergiat lagi usaha dalam memastikan kandungan yang disiarkan melalui perkhidmatan media penstriman (OTT) dapat diakses dengan baik serta dikenakan caj berbaloi.
"Bayaran kita untuk OTT sudah semakin murah. Lebih kurang RM29 hingga RM55, sudah boleh akses lima skrin.
"Ini bermakna, sudah tidak ada sebab untuk orang bersusah payah pergi 'melanun', melayari atau klik situ sini untuk menonton kandungan secara tidak sah.
"Ini antara perkara yang perlu kita lakukan dan kita akan gembira menikmatinya selain para penonton tidak perlu lagi bersusah payah untuk menonton sesuatu kandungan," katanya.
Justeru, beliau berpandangan pentingnya pendidikan sivik dalam kalangan pengguna sendiri bagi memastikan setiap kandungan yang diakses adalah secara sah.

** Astro AWANI kini dalam usaha membantu industri seni tanah air membanteras cetak rompak menerusi kempen #NoToLanun. Berikan pandangan anda menggunakan tanda pagar #NoToLanun & #StopPiracyLah jika anda ingin bersama-sama membantu menyelamatkan industri seni tempatan.
#Low Ngai Yuen #penerbit #pengarah #aktivis #industri kreatif #industri seni #no to lanun #undang-undang #pendidikan #kerajaan #Cetak rompak #penstriman dalam talian #OTT
;