Notis siap siaga kemungkinan banjir di Pantai Timur pada Jumaat - JPS

Bernama
November 10, 2022 00:47 MYT
Notis kesiapsiagaan itu dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutamanya di kawasan yang berisiko untuk berwaspada dengan sebarang kemungkinan berlakunya banjir kilat bagi tempoh tersebut. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir di Terengganu dan Pahang sekiranya hujan yang signifikan terus berlaku di lembangan Sungai Besut dan Sungai Rompin.
JPS, dalam kenyataan dikeluarkan setakat 11 malam tadi, memaklumkan ia berdasarkan hasil simulasi model ramalan banjir jabatan itu susulan Amaran Hujan Berterusan (Buruk) oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada jam 2.10 petang Khamis.
Menurut JPS, terdapat risiko berlakunya banjir mulai jam1 pagi Jumaat di kawasan sekitar Sekolah Kebangsaan Seri Payung di daerah Besut, Terengganu dan jam 5 petang di kawasan sekitar Kampung Buluh Nipis di daerah Rompin, Pahang.
BACA: 6 negeri berisiko dilanda banjir kilat, ini senarai kawasan terlibat - JPS
Terdahulu, notis sama turut dikeluarkan melibatkan daerah Besut di Kampung La, Kampung Seberang La, Kampung Pengkalan Nangka dan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bukit Puteri, manakala daerah Setiu di Kampung Nyatoh dan Kampung Che Mohid, yang dijangka mengalami banjir pada jam 5 pagi Jumaat.
Ramalan sama turut dijangka berlaku pada jam 7 pagi Jumaat di daerah Rompin, Pahang melibatkan Sungai Anak Endau di Rumah Pam Setajam.
Kelantan pula melibatkan daerah Pasir Mas di Kampung Kubang Rambutan, Kampung Bagus, Kampung Degung dan Kampung Telaga Mas. yang dijangka berlaku banjir pada jam 2 petang Jumaat.
Jabatan itu memaklumkan notis kesiapsiagaan itu dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutamanya di kawasan yang berisiko untuk berwaspada dengan sebarang kemungkinan berlakunya banjir kilat bagi tempoh tersebut.
"Sila patuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan bencana banjir," demikian menurut JPS.
Orang ramai boleh melayari laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook @PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir untuk maklumat lanjut dari semasa ke semasa.
-- BERNAMA
#banjir #Pahang #terengganu #amaran banjir
;