Notis merah digantung di SK Putrajaya Presint 8 (1), diarah tutup sehingga 16 Okt

Bernama
Oktober 9, 2020 19:53 MYT
Tinjauan mendapati notis berwarna merah arahan penutupan itu digantung di kedua-dua pintu masuk ke kawasan sekolah itu. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 8 (1) diarah tutup lapan hari bermula hari ini sehingga 16 Okt.
Tinjauan Bernama mendapati notis berwarna merah arahan penutupan itu digantung di kedua-dua pintu masuk ke kawasan sekolah itu.
Notis yang ditandatangani Pegawai Kesihatan Persekitaran, Pejabat Kesihatan Putrajaya, Abu Bakar Bachik sebagai pegawai diberi kuasa itu menyatakan penutupan atas alasan sekolah berkenaan berada dalam keadaan yang mungkin menyebabkan bermulanya atau merebaknya penyakit berjangkit.
Bagaimanapun usaha Bernama untuk mendapatkan pengesahan daripada Kementerian Pendidikan dan pihak sekolah gagal apabila pihak berkaitan tidak dapat dihubungi.
Terdahulu tular di aplikasi WhatsApp gambar notis perintah tutup premis yang digantung di pagar sekolah.
Notis itu menyebut: "Pada menjalankan kuasa di bawah perenggan 18(1)(f), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, saya Pegawai diberi kuasa dengan ini memerintahkan penutupan seluruh bahagian premis berikut: Sekolah Kebangsaan Putrajaya 8 (1)".
Pada 2 Okt, tular di Twitter menyatakan dua kelas di sekolah itu ditutup 14 hari berikutan terdapat jangkitan COVID-19.
BACA: Sekolah boleh ditutup jika terdapat guru atau murid positif COVID-19 - Muhyiddin
-- BERNAMA
#SK Putrajaya Presint 8 ditutup #sekolah tutup #Kementerian Pendidikan #COVID-19
;