Notis larangan untuk kekang gejala sosial di pawagam - Ahli Majlis MDPT

Astro Awani
Julai 22, 2015 09:39 MYT
Peraturan larangan penggunaan tempat duduk pasangan itu bagaimanapun tidak dikenakan terhadap orang bukan Islam yang datang ke panggung wayang tersebut. - Gambar hiasan
Notis larangan penggunaan tempat duduk pasangan bagi orang Islam bukan mahram di pawagam Lotus Five Star (LFS) Seri Iskandar bertujuan untuk menghindari perlakuan tidak senonoh dan mengekang gejala sosial.
Ahli Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT) Khairul Shahril Mohamed memberitahu perkara itu ketika diminta memberi komen mengenai isu yang timbul berkaitan kemudahan tersebut.
Ia berikutan kekecohan isu notis larangan guna pakai tempat duduk pasangan bagi orang Islam bukan mahram di pawagam itu yang mendapat pelbagai reaksi.
“Cadangan mengenai pembinaan panggung wayang tersebut pada awalnya mendapat tentangan hebat daripada orang ramai,” ujarnya
Menurutnya, majoriti penduduk di sekitar Seri Iskandar adalah kaum Melayu dan mereka khuatir perkara-perkara tidak elok akan berlaku dengan kewujudan pawagam itu.
"Selain itu, mereka juga menyedari bahawa Seri Iskandar adalah bandar ilmu dan risau mengenai gejala sosial yang bakal timbul.
"Walaubagaimanapun, setelah ditimbang tara dan kajian terperinci dilakukan bersama Jabatan Agama Islam Perak, institusi pendidikan dan JKKK kami membenarkan pembinaannya tetapi dengan bersyarat," katanya kepada Astro Awani.
Jelasnya, pihak MDPT menyedari mengenai keadaan semasa golongan mahasiswa dan belia yang ingin menghilangkan tekanan di pusat hiburan maka mereka membenarkan pembinaan pawagam tersebut.
Khairul Shahril berkata panggung wayang tersebut bukanlah bersifat hiburan berat malah turut dijadikan sebagai pusat riadah bagi seisi keluarga.
Ditanya mengenai kaedah pemantauan pihak MDPT terhadap pasangan bukan mahram dalam kalangan kaki wayang, beliau menjelaskan bahawa sebuah Jawatankuasa Pemantau akan menjalankan pemeriksaan rambang bagi mencegah sebarang perlakuan tidak senonoh.
"Kebiasaannya di kaunter tiket mereka yang ingin duduk di tempat duduk pasangan perlu mengemukakan kad akuan nikah dan sekiranya pihak jawatankuasa mendapati berlakunya pelanggaran syarat maka amaran keras akan diberikan kepada pihak pengurusan LFS Seri Iskandar.
“Peraturan itu walau bagaimanapun tidak dikenakan terhadap orang bukan Islam yang datang ke panggung wayang tersebut," katanya lagi.
Tambahnya, notis larangan tersebut adalah sebagai salah satu cara mencegah sebarang perbuatan tidak senonoh yang boleh mencemarkan nama baik ajaran Islam dan adab budaya Timur.
#gejala sosial #LFS Seri Iskandar #MDPT #pawagam #tempat duduk
;