Notis kekosongan kerusi DUN Ayer Kuning diserah Selasa - Speaker
Abd Razak Mohd Ali
Februari 23, 2025 09:30 MYT
Februari 23, 2025 09:30 MYT
MOHAMMAD ZAHIR: Insya-Allah minggu depan kita akan maklumkanlah kepada SPR seperti mana yang pernah jadi di DUN Slim. - Gambar fail/BERNAMA
IPOH: Notis kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) paling awal pada Selasa, susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin semalam.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, ia akan dibuat selepas urusan kematian Allahyarham selesai.
“Insya-Allah minggu depan kita akan maklumkanlah kepada SPR seperti mana yang pernah jadi di DUN Slim.
“Kita akan maklumkan secara rasmi kepada SPR supaya proses yang sepatutnya mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri dan juga Perlembagaan Negara,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan kediaman Allahyarham Ishsam di Desa Sri Ampang di sini, hari ini.
Allahyarham Ishsam, 59 tahun, meninggal dunia selepas bermain bola sepak di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, petang semalam.
Notis pemakluman kekosongan itu diserahkan terlebih dahulu oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Saarani Mohamad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.
Berdasarkan Perkara 36(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak, Speaker DUN akan memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan pilihan raya kecil (PRK).
PRK mesti diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh SPR menerima notis rasmi mengenai kekosongan kerusi tersebut.
Pada Julai 2020, berlaku kekosongan kerusi DUN Slim susulan kematian penyandangnya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib.