#Nothing2Hide: 'Tidak salah jika Tun M wakili NGO yang diundang' - penganjur

Syafique Shuib
Jun 7, 2015 11:48 MYT
Pengerusi SukaGuam Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata kad jemputan yang diberikan kepada NGO kosong, dan tidak ditiulis dengan nama-nam individi tertentu. -Gambar: Instagram/panglimaperangcyber
Kad jemputan bagi program 'Dialog PM Bersama NGO' yang diberikan kepada beberapa badan bukan kerajaan memang kosong dan tidak diisi dengan nama-nama individu tertentu.
Pengerusi Sukarelawan Peguam Untuk Semua (SukaGuam) Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata demikian ketika diminta untuk mengulas tentang beberapa kepingan gambar yang dikongsi di media sosial yang menunjukkan kad undangan dengan nama mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Kami memberikan kad-kad kosong kepada para NGO agar mereka boleh mengisi nama penaung mereka atau sesiapa yang mewakili NGO mereka. Tun Mahathir mungkin merupakan penaung sesebuah NGO dan mereka telah isi nama Mahathir,” kata Khairul kepada Astro AWANI.
BACA: #Nothing2Hide - Penganjur dakwa majlis gagal kerana campur tangan pegawai kanan Najib
BACA: Dr M datang tidak dijemput, kata penganjur #Nothing2Hide
Sebagai penganjur, beliau akui ia tidak menjadi masalah jika memang Tun Mahathir mewakili NGO tersebut.
Ditanya tentang siapa memberi kebenaran kepada Tun Mahathir untuk membuat ucapan, Khairul berkata ia berlaku kerana keadaan di dalam dewan sudah kelam kabut.
“Kalau tidak membenarkan Tun Mahathir berucap, nanti suasana akan lebih kecoh. Lagipun, beliau sudah berada di dalam dewan.
“Ketika itu, majlis sudah diambil alih oleh pihak polis. Namun ia selesai tanpa sebarang insiden dan Tun Mahathir memenuhi aturan pihak polis,” katanya.
BACA: #Nothing2Hide: Tun M hanya hadir untuk 'hentam' Najib - Salleh
Program 'Dialog PM Bersama NGO' dijadualkan berlangsung pada jam 9 pagi Jumaat di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
BACA: Kronologi #Nothing2Hide: Di sebalik pembatalan Dialog PM bersama NGO
Program itu dianjurkan bertujuan bagi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merungkaikan segala persoalan rakyat termasuk menjawab pelbagai persepsi negatif yang dilemparkan kepada beliau bersama wakil-wakil badan bukan kerajaan (NGO).
Acara itu dibatalkan atas arahan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar atas alasan keselamatan.
##nothing2hide #Dialog PM Bersama NGO #Khairul Anwar Rahmat #Mahathir Mohamad #Najib Tun Razak
;